Tiga maut dalam satu nahas jalan raya di Florida Turnpike selepas sebuah lori (semi-truck) membuat pusingan U secara haram di kawasan khas pusingan rasmi berhampiran penanda batu 171. Rakaman insiden itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menurut laporan Times of India, lori berkenaan yang dipandu dari lorong kanan cuba membuat pusingan U dan melintas di hadapan sebuah minivan Chrysler Town & Country yang ketika itu berada di lorong kiri. Pemandu minivan tidak sempat mengelak lalu kenderaan itu tersepit di bawah lori.
Akibat pelanggaran tersebut, dua penumpang minivan, seorang wanita berusia 37 tahun dari Pompano Beach dan seorang lelaki berusia 54 tahun dari Miami, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu minivan, seorang lelaki berusia 30 tahun dari Florida City, dikejarkan ke HCA Florida Lawnwood Hospital sebelum turut meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Sementara itu, pemandu treler dan seorang penumpang, kedua-duanya lelaki berusia lingkungan 20-an dari California, tidak mengalami sebarang kecederaan. Pihak berkuasa kini sedang menyiasat punca sebenar kejadian.
Insiden tersebut mencetuskan perdebatan dalam talian selepas ada pihak yang mengaitkan kewarganegaraan pemandu dengan kemalangan itu. Namun, ramai pengguna media sosial menegaskan kesalahan adalah berpunca daripada tindakan pemandu sendiri dan tidak wajar dikaitkan dengan latar belakang atau asal usulnya.
Baca: Lagi Kes Melibatkan Bas Persiaran, Kali Ini 2 M*ut & 16 Cedera Dalam Satu Kemalangan Dengan 2 Lori