syaz ft 2025 09 08T120401.507

Prosiding inkues kes kematian Zara Qairina Mahathir hari ini masuk hari ketiga, terbaru Mahkamah Koroner hari ini diberitahu sebanyak 21 beg barang kes Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengandungi kertas bertulisan tangan diserahkan kepada Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya, Selangor.

Perkara itu diberitahu Pemeriksa Dokumen di Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, Nurul Atiqah Mohd Noh selaku saksi kedua inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Artikel berkaitan: Inkues Zara Qairina: Diari Milik Allahyarham Bakal Jadi Tumpuan Hari Ini

Artikel berkaitan: Pakar Patologi Inkues Zara Qairina Buat Laporan Polis Lepas Terima Ugutan Di Media Sosial

Menurut laporan Berita Harian, beliau menyatakan semua dokumen bertanda W1 hingga W6, Y1 hingga Y7 dan Y9 hingga Y15 bermeterai Polis Diraja Malaysia 314, selain satu Borang Polis 31 bernombor aduan Kinarut 1776/25 itu diterima pada jam 8.37 pagi, 20 Ogos lalu.

Dalam prosiding itu, Nurul Atiqah membuat pengecaman semula dokumen terbabit yang berupa helaian kertas mengandungi tulisan tangan yang ditanda ‘Y’, selain buku latihan, buku kerja dan buku nota milik arwah Zara Qairina yang ditanda ‘W’.

Menurutnya, tulisan tangan dalam dokumen terbabit diperiksa dan dibuat perbandingan dengan contoh yang ada bagi menentukan sama ada tulisan dalam dokumen terbabit milik arwah Zara Qairina atau bukan.

“Saya telah memeriksa semua tulisan tangan dan melakukan perbandingan antara tulisan tangan yang dipertikaikan dengan semua contoh tulisan tangan.

Saya melihat ciri-ciri tulisan tangan antara kedua-duanya dan mengenal pasti persamaan dan perbezaan ciri-ciri tulisan tangan yang ada.

Saya menggunakan kanta pembesar dan peralatan saintifik Video Spectral Comparator dalam pemeriksaan saya,” katanya.

Sebagai info, Nurul Atiqah, 44, ialah saksi kedua inkues kematian arwah Zara Qairina, dengan pengalaman kerja selama 21 tahun sebagai pegawai sains di Jabatan Kimia Malaysia.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.