Sepasang pengantin dari Idaho, Amerika Syarikat mencuri perhatian dunia apabila mengenakan bayaran sehingga AS$997 (bersamaan kira-kira RM4,200) kepada tetamu yang ingin menghadiri majlis perkahwinan mereka yang berlangsung selama tiga hari, awal bulan ini.
Pasangan berkenaan, Marley Jaxx dan Steve J. Larsen, yang aktif dalam bidang keusahawanan digital, menjelaskan pendekatan itu bertujuan mengelakkan hutang perkahwinan serta mencipta pengalaman unik kepada tetamu. Beberapa kategori tiket ditawarkan, termasuk pakej asas bernilai AS$57 (RM240) untuk akses ke majlis perkahwinan dan resepsi, manakala pakej VIP bernilai AS$997 untuk dua orang merangkumi makan malam, sesi brunch bertemakan biohacking, tempat duduk khas dan peluang promosi jenama.
Memetik laporan Astro Awani, seramai 270 tetamu hadir ke majlis tersebut, kebanyakannya terdiri daripada kenalan dalam talian dan pengikut media sosial pasangan itu. Hasil kutipan keseluruhan mencecah AS$132,550 (bersamaan kira-kira RM557,000), dengan sebahagian digunakan untuk menampung kos penganjuran, manakala selebihnya disumbangkan kepada badan amal Village Impact yang membina sekolah di Kenya.
Pasangan itu turut menegaskan bahawa tetamu tidak perlu membawa hadiah, sebaliknya hanya membayar untuk pengalaman yang ditawarkan. Konsep ini, menurut mereka, adalah cara untuk meraikan hari bahagia tanpa beban kewangan sambil menyumbang kepada tujuan kebajikan.
Walaupun pendekatan tersebut mengundang reaksi bercampur-campur, termasuk kritikan yang menyifatkannya sebagai ‘tidak sensitif’ dan terlalu ‘komersial’, ramai juga yang memuji ketelusan serta nilai amal yang diketengahkan. Marley dan Steve berharap perkahwinan mereka dapat menjadi alternatif bagi pasangan muda yang ingin meraikan perkahwinan dengan cara berbeza.
Baca: Anak Tiara Jacquelina & Arwah Hani Mohsin, Hani Karmila Selamat Diijabkabulkan