Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan beliau pernah menjadi mangsa buli ketika zaman persekolahan, malah pernah dilempang oleh pembuli hingga terjatuh.
Katanya, insiden itu berlaku ketika beliau menuntut di sebuah sekolah tentera dan sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Saya pernah lihat sendiri kes buli di sekolah. Bila saya cuba pertahankan kawan, saya pula yang kena lempang sampai jatuh.
“Saya ada kongsikan pengalaman ini dalam buku saya, malah disahkan sendiri oleh rakan-rakan sekolah ketika itu,” katanya.
Artikel berkaitan: “Dah viral baru nak tukar penyiasat, baru nak post-mortem” – Syed Saddiq Bidas Kelewatan Siasatan Kes Buli
Artikel berkaitan: Kerjasama Dengan Era FM Tak Dapat Diteruskan, Syed Saddiq Salur Bayaran Kontrak Ke Tabung Biasiswa Muar

Menurut Syed Saddiq, pada zaman sekolah beliau bukanlah seorang yang berdiam diri apabila berlaku insiden buli.
Namun kerana keberaniannya melawan, beliau akhirnya menjadi sasaran.
“Dulu badan saya kecil, saya nerd (ulat buku). Jadi bila nampak kes buli depan mata, saya tak biarkan saja.
“Saya lawan. Tapi akhirnya saya pula yang kena,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata perkongsian itu bukan bertujuan untuk menyimpan dendam terhadap pelaku buli, sebaliknya sebagai peringatan untuk memastikan sekolah benar-benar menjadi tempat selamat buat semua murid.
Katanya lagi, ibu bapa perlu sedar bahawa kecuaian menjaga keselamatan anak boleh mengundang tindakan undang-undang, manakala guru pula memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa kedua sewaktu anak berada di sekolah.
“Ibu bapa menghantar anak dengan harapan sekolah jadi tempat paling selamat. Jadi kita mesti menghormati institusi pendidikan dan pastikan ia bebas daripada budaya buli,” katanya.
Sumber: Harian Metro