Tentera Israel mengumumkan akan memulakan pemindahan penduduk dari utara Gaza ke kawasan yang digelar sebagai “zon selamat” di selatan wilayah itu bermula Ahad. Pemindahan berkenaan dilakukan menjelang operasi ketenteraan baharu yang disasarkan untuk menawan Bandaraya Gaza, pusat bandar terbesar yang kini dianggap kubu terakhir Hamas.
Memetik laporan Astro Awani, langkah ini menimbulkan kebimbangan antarabangsa terhadap nasib kira-kira 2.2 juta penduduk Gaza yang terjejas akibat perang berlarutan. Bantuan khemah dan peralatan perlindungan akan disalurkan melalui lintasan Kerem Shalom dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta organisasi kemanusiaan antarabangsa, namun peralatan berkenaan akan diperiksa terlebih dahulu oleh Kementerian Pertahanan Israel.
Setakat ini, pihak tentera tidak menjelaskan sama ada pemindahan melibatkan keseluruhan penduduk Bandaraya Gaza yang dianggarkan seramai satu juta orang atau hanya sebahagian, termasuk kemungkinan ditempatkan di kawasan Rafah berhampiran sempadan Mesir.
Dalam masa sama, serangan udara dan tembakan kereta kebal Israel semakin meningkat di kawasan Zeitoun dan Shejaia. Serangan tersebut mengakibatkan kemusnahan besar serta kehilangan nyawa orang awam, dengan agensi pertahanan awam Gaza melaporkan 39 kematian pada Sabtu. Ribuan lagi penduduk kini berdepan kekurangan makanan dan air.
Sementara itu, keluarga tebusan Israel menyeru tindakan “hari berhenti nasional” sebagai tanda protes terhadap perang yang berlarutan hampir 22 bulan, selain membangkitkan kebimbangan terhadap keselamatan kira-kira 50 tebusan yang masih berada di Gaza.
Baca: “Satu-satunya suara di G*za” – 5 Wartawan Al Jazeera Terb*nuh Dalam Serangan Israel