Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu, telah menganjurkan satu Majlis Penyampaian Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin MADANI baru-baru ini.
Majlis tersebut telah diadakan di Dewan Tun Mustapha, Ujana Sarjana, UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, yang hadir sebagai tetamu kehormat telah menyempurnakan majlis tersebut yang merupakan komitmen berterusan KPT dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang inklusif dan saksama, terutamanya kepada pelajar golongan B40 dan berpendapatan sederhana di UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu.
Inisiatif bersama PTPTN tersebut diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam pengajian tanpa dibebani kekangan kewangan.
Selain penyampaian bantuan, majlis ini turut menyediakan ruang kepada pimpinan utama KPT dan PTPTN untuk berinteraksi dengan warga universiti, serta berkongsi hasrat dan hala tuju kementerian dalam memperkasa kebajikan pelajar di seluruh negara. Ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam mendepani cabaran sosioekonomi melalui pendidikan sebagai landasan utama pembangunan negara.