Perhimpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka hari ini berlangsung dalam keadaan aman tanpa sebarang insiden yang mengganggu ketenteraman awam.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad memaklumkan, sekitar 18,000 orang membanjiri kawasan itu sejak awal pagi dan perhimpunan kekal terkawal sehingga selesai.
“Sehingga jam 5.30 petang, kita tidak menerima sebarang laporan berkaitan kejadian yang tidak diingini. Semuanya berjalan lancar dan terkawal,” katanya menurut Berita Harian.
Jelas beliau, meskipun terdapat sedikit kekeliruan pada awalnya, namun situasi dapat dikendalikan dengan baik.
“Kita berterima kasih kepada semua yang hadir kerana memberi kerjasama. Kalau pun ada isu kecil, ia dapat diselesaikan segera dan tidak menjejaskan perjalanan himpunan,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan agar mana-mana pihak yang ingin menganjurkan perhimpunan selepas ini tampil lebih awal memaklumkan kepada pihak berkuasa, bagi memastikan persiapan keselamatan dapat diuruskan dengan lebih efisien.
“Keselamatan orang ramai adalah tanggungjawab utama polis. Sebarang kemungkinan insiden ketika perhimpunan perlu ditangani dengan rapi, sebab itu komunikasi lebih awal sangat penting,” katanya.
Menurut Mohamed Usuf, pihak polis sentiasa terbuka untuk bekerjasama selagi penganjuran mematuhi undang-undang sedia ada.
“Hak untuk berhimpun memang dijamin. Kami akan bantu dari sudut kawalan keselamatan serta memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” tambahnya.
Untuk rekod, seramai 3,000 pegawai dan anggota polis dikerahkan bagi memantau keseluruhan perjalanan perhimpunan hari ini.