29 Tahun Hidup Bersama, Rupanya Nikah Tidak Sah di Sisi Undang-Undang Kerana Guna Wali Hakim Tanpa Tauliah

20 hours ago 6

Bayangkan hidup sebagai suami isteri selama 29 tahun, susah senang bersama, makan dan tidur sebantal, tetapi akhirnya diberitahu oleh mahkamah bahawa perkahwinan itu tidak sah di sisi hukum Syarak dan undang-undang.

Itulah kisah benar yang dikongsikan oleh peguam syarie, Khairul Fahmi Ramli, dalam satu hantaran di media sosial.

Menurutnya, beliau terdorong untuk berkongsi kisah ini selepas menghadiri satu kes di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh baru-baru ini.

Katanya, seorang mak cik berusia hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam untuk kes Pengesahan Nikah. Namun, ketika disoal oleh hakim, barulah terbongkar cerita sebenar.

“Mak cik itu berkahwin pada tahun 1996 secara wali hakim melalui bekas Naib Qadhi Gopeng. Waktu itu, katanya, wali sebenar (ayah) berada di luar negeri Perak, jadi dia dinikahkan oleh wali hakim.”

Jelas Khairul Fahmi, perkahwinan tersebut tidak sah. Malah, mahkamah turut mengemukakan satu dokumen rasmi iaitu salinan fatwa daripada Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Perak bertarikh 10 Jun 1997.

Artikel berkaitan: Lafaz Akad Nikah Didakwa Tidak Sah Sebab Terhenti Seketika, Luna Maya & Suami Beri Penjelasan

Artikel berkaitan: Khatib Tertinggal 1 Daripada Rukun Khutbah, Solat Jumaat Di 16 Masjid Sekitar Rembau Tidak Sah

wali hakimDokumen yang dikongsikan oleh Khairul Fahmi Ramli di laman Facebook miliknya.

Fatwa itu dengan jelas menyatakan:

“Pernikahan yang telah dinikahkan secara Wali Hakim oleh bekas Naib Qadhi Gopeng bernama Mohd Jamil bin Kechil selepas tarikh 22 Julai 1989 adalah TIDAK SAH kerana telah dilarang oleh Qadhi yang ketika itu bertindak sebagai wakil Sultan.”

Difahamkan, fatwa tersebut telah digazetkan dan berkuat kuasa di negeri Perak sejak tahun 1997.

Akibatnya, wanita itu dimaklumkan bahawa perkahwinannya tidak sah sejak dari awal. Lebih menyedihkan, suaminya telah pun meninggal dunia.

Ini menyebabkan wanita tersebut tidak boleh lagi bernikah semula untuk memperbetulkan status perkahwinan seperti yang biasa dilakukan dalam kes Nikah Fasid.

“Kalau pasangan tidak tahu bahawa perkahwinan itu tidak sah, mereka masih boleh diperbetulkan semula dengan akad nikah baharu. Tapi bila salah seorang sudah meninggal dunia, seperti dalam kes ini, tiada jalan lain.”

Persoalan lain yang turut dibangkitkan ialah bagaimana pula dengan status anak-anak hasil daripada perkahwinan yang tidak sah ini?

“Anak-anak tersebut dikategorikan sebagai Anak Wati’ Syubhah, iaitu anak hasil hubungan yang meragukan dari sudut sah nikah. Tetapi mereka bukan anak tak sah taraf.”

Menurutnya, Anak Wati’ Syubhah masih boleh dinasabkan kepada bapa, berhak menerima perwalian untuk perkahwinan dan juga mewarisi pusaka si bapa.

Namun, mereka perlu mendapatkan perintah pengesahan nasab daripada Mahkamah terlebih dahulu.

Namun begitu, jika ibu bapa memang tahu sejak awal bahawa perkahwinan mereka tidak sah tetapi sengaja membiarkan, anak itu dikira sebagai Anak Tak Sah Taraf.

Dalam kes ini, anak hanya boleh dinasabkan kepada ibu sahaja dan tidak layak mewarisi harta pusaka bapa.

“Kalau anak tak sah taraf, bapa kandung tidak mempunyai hak untuk menjadi wali. Tetapi dalam kes Anak Wati’ Syubhah, wali tetap sah dan perkahwinan anak-anak itu masih dikira sah mengikut mazhab Syafie.”

Khairul Fahmi turut menyeru agar pasangan yang pernah bernikah menggunakan wali hakim, terutamanya di negeri Perak sekitar tahun 1990-an, supaya menyemak semula status perkahwinan mereka.

“Mungkin masih ramai yang tidak tahu bahawa fatwa ini telah diwartakan sejak tahun 1997. Kalau pasangan masih hidup, segeralah buat permohonan Pengesahan Nikah dan nikah semula jika perlu.

“Tetapi jika pasangan sudah meninggal dunia, isteri mungkin akan kehilangan hak ke atas harta pusaka suami hanya kerana perkahwinan itu tidak sah dari awal.”

Sumber: Facebook Khairul Fahmi Ramli

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |