Sebuah keluarga terpaksa menjalani hidup yang daif, mereka 8 beranak terpaksa menumpang teduh di bangunan usang yang pernah dijadikan rumah sarang burung walet di Kampung Batin, Kuala Nerus, Terengganu.
Difahamkan, mereka tinggal di bangunan itu lebih setahun lalu, kedaifan mereka itu mendapat perhatian Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Artikel berkaitan: “Ramai isteri akhir zaman hilang hormat” – Wanita Tengking Minta Cerai Sebab Suami Miskin
Artikel berkaitan: “Cantiknya rumah kami bang” – Tiada Lagi Pondok Usang, 11 Beranak Kini Duduk Rumah Baharu
Pengarah KKDW Terengganu, Md. Razi Md. Lazim mengakui terkejut dan bersimpati dengan nasib yang menimpa Mohd. Nazarudin Muhamat, 50, isterinya, Nur Nadiatul Asyikin Muhammad Nasir, 36, serta enam anak mereka berusia tiga dan 12 tahun.
“Saya segera turun padang selepas dimaklumkan perkara ini oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman. Tapak rumah sarang burung walet ini amat daif dan tidak sesuai untuk didiami,” katanya.
Difahamkan, bangunan usang itu dimiliki ibu Nur Nadiatul Asyikin dan dijadikan tempat tinggal selepas keluarga tersebut gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah.
Pihak KKDW berkata, ‘kediaman’ tersebut akan dibaik pulih dengan membina ruang tamu, dapur dan tandas demi keselesaan keluarga Mohd. Nazarudin.
Dalam pada itu, Nur Nadiatul Asyikin memberitahu, sebelum ini mereka menetap di Kuala Lumpur dan memutuskan untuk pulang ke kampung halamannya sewaktu pandemik Covid-19 kira-kira lima tahun lalu akibat desakan hidup.
“Ibu saya memberi keizinan untuk kami tinggal sementara di bangunan ini. Setakat ini kami cuma mampu ubah suai sedikit tanpa tandas. Kalau mahu buang air kecil dan besar, kami akan pergi ke stesen minyak berhampiran,” katanya.
Difahamkan, Md. Razi bekerja sebagai mekanik, isterinya pula menjual aiskrim dengan purata pendapatan RM1,000 sebulan.
Lebih menyedihkan, anak sulung mereka yang berusia 12 tahun disahkan orang kurang upaya kategori gangguan kecelaruan tumpuan dan kelasakan (ADHD).
Sumber: Kosmo!