Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang giat membantu mangsa dan waris pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik dalam membuat tuntutan insurans kepada pihak yang terlibat.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan agensi tersebut, 37 waris mangsa menetap di Terengganu, empat (4) di Kelantan, dan masing-masing seorang di Kuala Lumpur dan Johor.
Dalam masa yang sama, pihak APAD juga mendapatkan bantuan dari pihak UPSI bagi membantu menghubungi semua mangsa dan juga waris yang terlibat untuk tujuan pengumpulan dan juga pengesahan maklumat berkaitan.
Selain itu, pihak APAD memohon kerjasama mana-mana mangsa atau waris untuk menghubungi pegawai APAD, Puan Ameera Mohd Ali di talian 03-2603 6763 atau melalui emel [email protected] bagi tujuan penyelarasan tuntutan insurans tersebut.
Mangsa atau waris juga boleh berhubung terus kepada pejabat Cawangan APAD yang berhampiran untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Agensi tersebut juga menzahirkan rasa simpati dan dukacita di atas insiden yang melibatkan kehilangan 15 nyawa serta kecederaan kepada beberapa orang pelajar di dalam Bas Persiaran yang terbabit nahas.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, APAD komited dalam memastikan kebajikan mangsa dan juga waris sentiasa diberi perhatian yang sewajarnya melalui tuntutan insurans kepada pihak berkenaan.
Dalam masa yang sama, APAD juga sentiasa memantau aspek keselamatan operasi pengangkutan awam darat melalui pematuhan Keperluan Tahap Perkhidmatan, termasuk syarat-syarat wajib yang perlu dipatuhi oleh semua pengendali.