Baru sahaja beberapa hari dibebaskan dari penjara sebab kesalahan ugut isteri, seorang operator kilang sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret Yong Peng, Batu Pahat, Johor semalam atas pertuduhan menendang perut dan memukul kepala anak lelakinya.
Tertuduh, Mohd Samsul Tumiran, 45, mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dikemukakan terhadapnya sebelum Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman penjara selama 5 bulan.
Artikel berkaitan : Netizen Panas Hati Lihat Video Lelaki Didakwa Anggota Beruniform Pukul Isteri Depan Jiran
Artikel berkaitan : Disyaki Pukul Lelaki OKU Kes Langgar Gerai Di Pasar Tani, 3 Individu Ditahan
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada 4 oang anak itu didakwa menjadi penyebab kecederaan terhadap anak lelakinya yang berusia 18 tahun dengan sengaja di hadapan sebuah pusat perniagaan yang terletak di Sri Gading, kira-kira jam 1 tengah hari pada 5 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama. Mengikut fakta kes, mangsa membuat laporan polis memaklumkan bahawa dia didatangi tertuduh untuk mengambil kunci motosikal.
Bagaimanapun, tiba-tiba tertuduh menendang perut dan memukul kepada mangsa sebelum beredar dari lokasi.
Bertindak atas laporan yang dibuat pada jam 11 pagi, 6 Julai lalu, polis berjaya menahan tertuduh bagi membantu siasatan.
Mangsa kemudiannya telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan mendapati bahawa ada kecederaan di bahagian kepala dan badan anak kandungnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Pada 26 Februari lalu, pihak Mahkamah Majistret Batu Pahat telah menjatuhkan hukuman penjara 7 bulan terhadap tertuduh selepas mengaku bersalah mencederakan dan ugutan jenayah terhadap isterinya berusia 45 tahun.
Tertuduh melakukan tindakan itu kerana isterinya dikatakan enggan melayan permintaannya untuk mendapatkan wang RM800 untuk membayar deposit kereta yang hendak dibelinya.
Sumber : Harian Metro