Pelakon Ruhainies meraih perhatian ramai apabila tampil mendedahkan pendapatannya boleh mencecah RM100,000 sebulan sebagai anak seni tanah air.
Perkara itu dikongsikan dalam satu temu bual yang berkongsi mengenai tahap gaji atau pendapatan secara terbuka.
Dalam temu bual itu, Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, dia merupakan seorang artis dan sudah berada dalam industri hiburan tanah air hampir 10 tahun.
“Jadi sebagai seorang artis, apa yang saya buat? Saya menjadi duta jenama, membuat pemasaran afiliasi, berlakon, dan berkolaborasi dengan beberapa jenama.
“Pendapatan saya sebagai artis adalah sekitar RM50,000 hingga RM100,000 sebulan.
“Di Instagram, saya mempunyai 1.7 juta pengikut, manakala di TikTok saya mempunyai lebih 700 ribu pengikut,” ujarnya.
Artikel berkaitan: “Laju je buat andaian…” – Tular Video Jeling Ruhainies, Betty Rahmad Selar Kenyataan Netizen
Artikel berkaitan: Ruhainies, Aliff Aziz & Azizulhasni Awang Antara Individu Paling Banyak Dicari Sepanjang 2024
Ditanya sama ada pelakon berusia 33 tahun itu memilih barangan berjenama mewah atau mampu milik, Ruhainies memaklumkan dia lebih mementingkan kualiti.
“Dengan pendapatan setinggi itu, saya membelanjakan wang untuk penjagaan diri, perbelanjaan hidup, dan kos operasi yang agak tinggi.
“Daripada segi pilihan barangan, saya lebih fokus kepada kualiti berbanding harga. Jika sesuatu (produk) itu sesuai dengan saya, sudah tentu saya akan membelinya,” katanya.
Menerusi semakan, video temu bual itu telah diturunkan namun dimuat naik oleh pihak lain di media sosial.
Pemilik video menyatakan mereka telah menurunkan video itu kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan dan akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Sumber: Threads