Bas persiaran yang terlibat dalam nahas mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Sultan Idris Shah (UPSI) pada Jun lalu didapati dipandu hampir dua kali ganda melebihi had laju yang ditetapkan.
Menerusi laporan awal Pasukan Petugas Khas yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), analisis mendapati bas berkenaan dipandu pada kelajuan 117 kilometer sejam (km/j) ketika kejadian, berbanding had ditetapkan iaitu 60km/j.
Kegagalan mematuhi had laju itu mengakibatkan pemandu bas berkenaan hilang kawalan, kenderaan tergelincir dan terbalik ke kiri jalan.
Artikel berkaitan: Beberapa Mangsa Nahas Bas Persiaran Di Gerik Alami Cacat Kekal
Artikel berkaitan: “Brek, tayar semua OK” – Laporan Awal Puspakom Nafikan Masalah Mekanikal Jadi Punca Nahas Bas UPSI
“Analisis trajektori, rekonstruksi pergerakan sebelum kejadian dan penilaian terhadap kelajuan kritikal selekoh menunjukkan bas dipandu pada kelajuan yang melebihi had selamat untuk laluan berkenaan.
“Kenderaan terbalik ke sisi kiri sebelum bergesel dan menghentam penghadang jalan jenis W-beam, yang kemudiannya menembusi ke dalam ruang kabin sehingga menyebabkan kecederaan parah serta kematian dalam kalangan penumpang.”
Dalam laporan itu juga menyatakan walaupun pemandu mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal.
Selain dipandu laju, ada juga beberapa faktor lain yang saling berkait yang meningkatkan risiko kejadian serta tahap keparahan akibat.
Faktor tersebut merangkumi kelemahan reka bentuk fizikal jalan di lokasi kejadian seperti garisan pembahagi jalan yang tidak jelas serta kekurangan papan tanda amaran untuk pemandu menjangka risiko dengan lebih awal.
Pada akhir laporan, kesimpulan mengenai punca nahas ini bukan sahaja disebabkan daripada kegagalan teknikal atau kesilapan pemanduan, tetapi turut didorong oleh kelemahan dalam struktur operasi, pemilihan pemandu yang tidak sesuai, kekurangan perlindungan keselamatan serta kelemahan pelaksanaan sistem pemantauan dan penguatkuasaan.
Korang boleh baca maklumat terperinci mengenai punca nahas ini DI SINI.
Sumber: Berita Harian