Mengapa ramai anak muda Malaysia kini seolah-olah ‘takut’ untuk melangkah ke alam perkahwinan dan membina keluarga? Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, menjelaskan bahawa impian untuk berkeluarga itu ada, namun seakan-akan terhalang oleh cabaran realiti seperti kos sara hidup, pekerjaan tidak stabil, kekurangan akses penjagaan anak, serta kebimbangan terhadap masa depan.
Beliau menekankan bahawa suara golongan muda perlu didengar dan penyelesaian yang diperlukan adalah ekosistem yang menyokong, bukan sekadar seruan untuk segera berkeluarga.
Isu ini cukup penting kerana ia berkait rapat dengan demografi negara kita. Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) negara kini berada pada paras 1.7 anak, jauh di bawah paras penggantian 2.1 anak yang diperlukan untuk kelangsungan generasi akan datang.
Malah, Malaysia mencatatkan penurunan kelahiran sebanyak lebih 11% pada suku pertama tahun 2025 berbanding tahun sebelumnya. Ini adalah krisis semasa yang menuntut tindakan dasar yang inklusif dan progresif.
Sempena Hari Penduduk Sedunia 2025 yang disambut pada 11 Julai setiap tahun , dengan mengetengahkan tema “Memperkasa golongan muda untuk membentuk keluarga yang mereka inginkan dalam dunia yang adil dan penuh harapan” , Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menzahirkan komitmen untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu kependudukan yang semakin mencabar. Ini termasuklah hak kesihatan reproduktif, perubahan demografi, kesejahteraan keluarga, dan pembangunan mampan.
Untuk membantu golongan muda merealisasikan impian berkeluarga, KPWKM dan LPPKN kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi yang menyeluruh khusus untuk golongan muda. Antara inisiatif yang pasti meringankan beban dan memberi harapan ialah:
- Subsidi Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAl): Bantuan ini akan diberikan kepada 1,300 pasangan suami isteri yang layak. Ini adalah sokongan penting bagi mereka yang mungkin berdepan cabaran untuk memiliki zuriat.
- Penjagaan anak serta kemudahan cuti ibu bapa yang lebih fleksibel: Langkah ini bertujuan meringankan beban mereka dalam merancang dan memulakan kehidupan berkeluarga.
Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 akan mencapai kemuncaknya pada 21 Julai 2025 (Isnin) bertempat di Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Acara penting ini dianjurkan oleh KPWKM melalui LPPKN, dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia, Universiti Malaya (UM) dan United Nations Population Fund (UNFPA).
Lebih menarik lagi, sambutan ini turut diperluas ke peringkat negeri sepanjang bulan Julai dan Ogos melalui penganjuran seminar-seminar bertemakan kependudukan dan keluarga yang akan digerakkan oleh pejabat negeri LPPKN bersama rakan strategik di seluruh negara.
Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan sambutan Hari Penduduk Sedunia 2025 melalui laman web rasmi LPPKN dan hab penyelidikan kependudukan.