rapid bus geng basikal pemandu

Baru-baru ini, sebuah video yang tular di media sosial menjadi bualan hangat netizen apabila memaparkan pertengkaran antara sekumpulan penunggang basikal dan pemandu bas di Jalan Bestari, Kuala Selangor.

Susulan itu, Rapid Bus Sdn Bhd memaklumkan bahawa pihaknya sudah menyiasat kejadian berkenaan.

Rapid Bus dalam satu kenyataan berkata, semasa kejadian, Kapten Bas (pemandu bas) terbabit berhadapan kesukaran untuk memandu apabila penunggang basikal itu mengayuh secara berkumpulan di hadapan bas berkenaan.

Artikel berkaitan: “Sebab saya tidak lagi berbasikal. Penunggang tetap salah.” – Ryzal Ibrahim Ulas Video Geng Basikal Bertengkar Dengan Pemandu Bas

Artikel berkaitan: Polis Giat Kesan Penunggang Basikal Halang Laluan Bas

“Keadaan menjadi lebih rumit apabila ada dalam kalangan penunggang tersebut memasuki lorong kiri dan menghalang laluan bas, menyebabkan pemandu terpaksa memberhentikan kenderaan dan menegur kumpulan terbabit,” katanya.

Screenshot 2025 07 07 174025

Jelasnya, insiden itu telah mencetuskan perselisihan faham antara pemandu dan penunggang basikal, sebelum seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang kebetulan melalui kawasan berkenaan campur tangan dan menenangkan keadaan.

Menurut Rapid Bus, pemandu bas diberikan sesi kaunseling bagi membantunya mengendalikan situasi seumpama itu dengan lebih tenang pada masa akan datang.

Tambah kenyataan itu, pihaknya turut mengingatkan semua Kapten Bas untuk mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Rapid Bus menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang demi keselamatan bersama.

Syarikat itu juga menasihatkan penunggang basikal supaya menunggang dalam satu barisan, tidak memasuki lorong kenderaan dan tidak menghalang pergerakan lalu lintas demi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Sumber: Astro Awani

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.