Pereka fesyen terkenal tempatan, Datuk Jovian Mandagie diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) hari ini selepas gagal membayar pinjaman berjumlah RM5.28 juta kepada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan.
Perintah itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Muhammad Faisal Zulkifli selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan syarikat Cekap Air Sdn Bhd pada 20 November 2024 pada prosiding petisyen pemiutang tersebut hari ini.
Dalam petisyen berkenaan, Jovian selaku penghutang penghakiman didakwa gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei 2024, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Insolvensi 1967.
Artikel berkaitan: Mungkir Perjanjian Pinjaman, Jovian Mandagie Diarah Bayar RM10 Juta Kepada 2 Syarikat
Artikel berkaitan: “Sorry tak dapat datang, nanti kita catch up” – Jovian Tumpang Gembira Bekas Isteri Berkahwin
Jovian yang juga bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhutang kepada Cekap Air RM 5,284,340.66 termasuk faedah, iaitu jumlah yang perlu dibayar berikutan penghakiman terus oleh Mahkamah Tinggi pada 2 April tahun lalu melalui kes saman utama.
Peguam Siti Nur Athirazatti Rohizad yang mewakili Cekap Air, memaklumkan mahkamah bahawa semua permohonan oleh pihak Jovian untuk membatalkan dan menggantung petisyen tersebut telah ditolak.
“Jovian ada memfailkan permohonan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen berkenaan tetapi semuanya ditolak oleh mahkamah,” katanya.
Mengikut penyataan tuntutan yang difailkan sebelum ini, Jovian merupakan kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Yong Zhen Wei.
Pada 25 Februari 2022, Zhen Wei telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan pereka fesyen itu dan atas dasar pinjaman persahabatan. Pinjaman tersebut sepatutnya dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.
Rayuan Jovian terhadap penghakiman terus melalui saman utama akan didengar 15 September ini.
Sumber: Berita Harian