Tular baru-baru ini di media sosial tentang kehilangan seorang lelaki berusia 38 yang juga merupakan pempengaruh (influencer) permotoran selepas kereta yang dinaikinya ditemui di Sungai Tui, Muar, Johor.
Susulan laporan kehilangannya itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) telah dijalankan oleh pihak berkuasa namun ia kemudiannya ditamatkan selepas empat hari kerana tiada sebarang petunjuk.
Terkini, pihak polis mendedahkan bahawa kehilangan pempengaruh tersebut yang dikenali sebagi Ija atau nama sebenarnya Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin merupakan lakonan semata-mata, lapor Sinar Harian.
Menurut Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz iaitu Ketua Polis Daerah Murah, kereta yang ditemui di sungai baru-baru ini merupakan milik isteri pempengaruh tersebut yang dipercayai telah ditenggelamkan sendiri oleh pempengaruh itu.
Artikel Berkaitan: “Cermin kereta terbuka, barang peribadi tidak ditemui” – Pencarian Pempengaruh Permotoran Masih Diteruskan
Artikel berkaitan: “Belum ada pengesahan Ija meninggal” – Pempengaruh Permotoran Hilang, Kereta Ditemui Dalam Sungai
Pempengaruh itu kemudiannya telah ke negara jiran untuk melarikan diri.
Sebelum ini, laporan polis mengenai kehilangan pempengaruh itu telah dibuat oleh adiknya dan difahamkan, menurut pihak polis, laporan itu dibuat untuk membuat kejadian itu lebih meyakinkan.
Pihak polis mendapati ada elemen-elemen penipuan dalam laporan polis yang dibuat oleh adik pempengaruh itu.
Hasil siasatan kemudiannya mendapati bahawa adik influencer tersebut telah sengaja bersubahat untuk mengelirukan siasatan pihak polis.
Susulan itu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.
Sumber: Sinar Harian