Ekoran dengan tragedi kemalangan yang mengorbankan 6 beranak, kerajaan akan meneliti cadangan untuk membina pagar dan memasang lampu jalan di sepanjang laluan berhampiran Sungai Korok.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan tersebut akan dibawa kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan aspek keselamatan di kawasan tersebut dapat ditambah baik lagi.
Artikel berkaitan : “Kes paling sayu & tragis” – Ahli Bomba Kongsi Detik Pilu Ketika Angkat Jasad Korban 6 Beranak Di Sungai Korok
Artikel berkaitan : 6 Sekeluarga Hilang Ditemui Lemas, Kereta Tenggelam Di Sungai Korok
Beliau yang juga memainkan peranan sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengatakan bahawa akan mendapatkan taklimat lanjut sebelum membawa cadangan itu kepada pihak berkaitan.
“Kita difahamkan laluan ini tidak mempunyai lampu jalan dan keadaan agak gelap. Jadi, saya akan ikhtiarkan pemasangan lampu jalan bukan sahaja di kawasan ini, tetapi juga di kawasan gelap yang lain.”
“Saya juga akan maklumkan perkara ini kepada menteri yang berkaitan kerana secara kebetulan saya adalah Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Jalan Raya. Tindakan segera perlu diambil,” katanya ketika mengunjungi rumah nenek kepada Puteri Qisya Nur Izzat, 12, di Kampung Bohor Karang.
Puteri Qisya merupakan anak sulung kepada pasangan Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang maut bersama 4 lagi anak mereka yang terlibat dalam kemalangan itu.
Putra Rayyan Nur, 9; Hawa Adriana Nur, 8; Annayla Humaira Nur, 7; dan Tuah Haydar yang berusia 6 bulan juga turut terkorban.
Putri Qisya terselamat kerana dia tidak mengikut semua ahli keluarganya pulang pada malam kejadian dan bermalam di rumah ibu saudaranya di Taman Seri Aman, Jitra.
Dalam kunjungan tersebut, beliau Ahmad Zahid turut berkata yang Putri Qisya akan dijadikan anak angkat Majlis Amanah Rakyat (MARA) sehingga menjejakkan kaki ke universiti.
Beliau turut menasihatkan yang Putri isya terus tabah dan kuat mengahdapai ujian hidup yang berat ini.
“Saya nasihatkan adik ini supaya menjadi anak yang solehah, kerana doa anak solehah kepada ibu bapa tiada hijab. Saya minta dia sentiasa membaca al-Fatihah dan Yasin untuk dihadiahkan kepada ibu bapa serta adik-beradiknya yang telah pergi.”
“Saya juga galakkan dia untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depannya. Insya-Allah, MRSM (Maktab Rendah Sains MARA) bersedia menerimanya tahun depan dan perkara itu turut dipersetujui oleh neneknya.”
Dalam pada itu, segala bantuan yang diperlukan akan disalurkan dan kerajaan akan ikhtiar apa yang terbaik untuk masa depannya.
Sumber : Berita Harian