Laporan Awal Dedah Suis Bahan Api Ditutup, Wujud Kekeliruan Dalam Kokpit Sebelum Pesawat Air India Terhempas

18 hours ago 8

Laporan awal nahas pesawat Air India AI171 yang terhempas pada 12 Jun lalu mendedahkan wujud kekeliruan dalam kokpit apabila kedua-dua suis bahan api didapati berada dalam posisi “cutoff” hanya beberapa saat selepas pesawat berlepas.

Laporan sama mendedahkan, pesawat Boeing 787 Dreamliner yang dalam perjalanan dari Ahmedabad ke London itu kehilangan daya tujahan sebelum menjunam ke kawasan perumahan padat berhampiran lapangan terbang.

Insiden tersebut mengorbankan 260 orang, termasuk 19 mangsa di darat. Tragedi ini sekali gus menjadi nahas udara paling buruk di India dalam tempoh hampir 30 tahun.

Menurut laporan awal Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat India (AAIB), rakaman perakam suara kokpit mendedahkan situasi panik berlaku apabila salah seorang juruterbang bertanya kepada rakannya:

“Kenapa awak tutup?” merujuk kepada suis bahan api. Namun, rakannya menjawab, “Saya tak buat.”

Beberapa saat kemudian, pesawat mula kehilangan ketinggian dan satu isyarat kecemasan berbunyi “Mayday, Mayday, Mayday” dihantar kepada kawalan trafik udara sebelum pesawat itu terhempas.

Artikel berkaitan: “Ia satu kebetulan yang aneh” – Lelaki Britain Sepatutnya Duduk Di Kerusi 11A Air India

Artikel berkaitan: Duduk Berhampiran Pintu Kecemasan, Mangsa Tunggal Terselamat Kongsi Detik Cemas Nahas Air India

air indiaPesawat Air India AI171 yang terhempas di kawasan perumahan padat di Ahmedabad. Tragedi pada 12 Jun lalu ini mengorbankan 260 nyawa termasuk 19 mangsa di darat.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa kedua-dua suis bahan api dimatikan satu persatu dan kemudian dihidupkan semula dalam cubaan untuk mengaktifkan semula enjin.

Salah satu enjin berjaya dihidupkan kembali, namun kuasa yang diperlukan tidak mencukupi untuk memulihkan keadaan pesawat yang sedang menjunam.

“Tidak dapat dipastikan sama ada kapten atau pembantunya yang menutup suis bahan api, dan siapa yang menghantar isyarat kecemasan,” jelas laporan itu.

Pesawat berkenaan dikendalikan oleh Kapten Sumeet Sabharwal, 56, yang berpengalaman lebih 15,600 jam penerbangan dan merupakan jurulatih penerbangan di Air India. Pembantu juruterbangnya ialah Clive Kunder, 32, yang mempunyai 3,403 jam pengalaman penerbangan.

Laporan tersebut bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana suis bahan api boleh berada dalam kedudukan “cutoff”, memandangkan ia dilengkapi ciri keselamatan seperti mekanisme pengunci yang direka untuk mengelakkan pergerakan tidak sengaja.

“Juruterbang tidak boleh tersilap tekan suis itu secara tidak sengaja. Anda tak boleh ‘terlanggar’ dan ia terus bergerak,” kata pakar keselamatan penerbangan dari Amerika Syarikat, John Cox kepada Reuters.

Sumber: The Guardian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |