Percutian hujung minggu sekumpulan penuntut bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas ketika cuba menyelamatkan rakannya di air terjun Lata Bukit Dinding, Gunung Jerai, Kedah.
Mangsa, Muhammad Zaim Ikhwan Mohd Fauzi, 24, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) Kuala Ketil, berasal dari Sungai Dedap, Yan.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11.47 pagi melibatkan kumpulan tujuh individu terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita yang memulakan pendakian dari kaki Gunung Jerai kira-kira jam 9.30 pagi.
Sebaik tiba di kawasan air terjun Bukit Dinding, salah seorang peserta wanita dipercayai mengalami lemas dan meminta bantuan. Mangsa bersama penunjuk arah bertindak cuba menyelamatkan mangsa, namun Muhammad Zaim tenggelam dalam usaha tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan segera selepas panggilan kecemasan dibuat. Mayat mangsa berjaya ditemukan kira-kira jam 2.30 petang dan dihantar ke unit forensik untuk pengecaman serta proses bedah siasat.
Difahamkan, dua rakan lain yang turut cuba membantu berjaya diselamatkan dalam insiden menyayat hati itu.
Baca: 6 Sekeluarga Hilang Ditemui Lemas, Kereta Tenggelam Di Sungai Korok