Misteri kehilangan enam beranak sejak Sabtu lalu akhirnya terjawab apabila waris mengesahkan mayat yang ditemukan di dalam kereta yang tenggelam di dalam Sungai Korok, Jitra pada pagi tadi ialah keluarga terbabit.
Mangsa ialah pasangan suami isteri Mohammad Azim Izat Ishak, 32, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta anak mereka Putra Rayyan, 9, Hawa Adriana, 8, Annayla Humaira, 7, dan Tuah Haidar, 6 bulan.
Adik kepada Mohammad Azim Izat, Nur Adliah Shuhada berkata, dia berasa tidak sedap hati apabila abang dan kakak iparnya mengadu mengantuk pada malam sebelum kejadian.
Artikel berkaitan: 6 Sekeluarga Hilang Ditemui Lemas, Kereta Tenggelam Di Sungai Korok
“Malam itu mereka suami isteri datang ke rumah saya di Taman Seri Aman dan beritahu mengantuk, saya suruh mereka tidur dulu.
“Biasanya mereka akan pulang ke rumah di Jerlun awal pagi. Pagi itu, jam 5.30 pagi mereka sudah tiada. Masa itu saya ingat tak ada apalah, sehinggalah terima panggilan daripada ibu mentua abang yang beritahu mereka tak sampai lagi,” katanya.
Kali terakhir dia bertemu abang kedua daripada enam beradik itu malam Jumaat lalu dan tak sangka arwah sempat menyuapkan makan untuknya ketika makan malam bersama.
“Saya memang manja dengan abang dan biasanya saya akan minta dia suapkan makan, tetapi malam tadi tak payah minta, dia suap terus makan untuk saya.
“Dengan anak-anak dia pun saya rapat dan malah abang serta kakak ipar baru saja kehilangan salah seorang anak lelaki kembar, Februari lalu,” katanya.
Menurut Adliah, dia mengetahui penemuan kereta abangnya selepas dimaklumkan orang awam pada jam 8 pagi.
Dah tinjau lokasi kejadian Sabtu lalu
Bercerita lanjut, ketika melakukan pencarian pada Sabtu lalu, dia dan ahli keluarga lain sudah meninjau sekitar lokasi sungai terbabit namun tidak menemui kereta abangnya di dalam sungai.
“Semalam pun ada orang maklumkan penemuan kereta Proton Iswara seperti ini tetapi kami tengok, bukan kereta abang.
“Saya masih terbayangkan keletah anak-anak saudara dan kenangan bersama abang pada malam kejadian Jumaat lalu namun saya reda pemergian mereka,” katanya.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu turut mempunyai seorang lagi anak iaitu anak sulung, Puteri Qisya, 12, tetapi ketika kejadian dia tidak mengikut keluarganya itu bermalam di rumahnya.
Terdahulu, media melaporkan enam beranak yang ditemukan maut pagi ini dipercayai cuba keluar menyelamat diri sebaik kereta terjunam ke dalam sungai, namun gagal.
Sumber: Berita Harian