Kerajaan Malaysia mengambil maklum pengumuman yang dibuat Presiden Amerika Syarikat (A.S), Donald Trump baru-baru ini berkaitan kadar tarif timbal balik sebanyak 25% ke atas eksport Malaysia ke Amerika Syarikat berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Menerusi kenyataan media Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), negara kita menghargai hubungan ekonomi dan perdagangan yang sekian lama terjalin dengan A.S dan mengiktiraf peranan penting perdagangan terbuka dan adil dalam menyokong pertumbuhan dan pekerjaan kedua-dua negara.
Menurut MITI, Malaysia komited meneruskan penglibatan dengan A.S ke arah perjanjian perdagangan yang seimbang, saling menguntungkan dan komprehensif.
Pun begitu, pihak MITI akan meneruskan perbincangan dengan rakan sejawatannya di A.S dengan baik bagi menangani beberapa isu yang belum selesai, menjelaskan skop dan impak tarif yang diumumkan serta meneroka jalan penyelesaian dengan rundingan.
Tambah MITI lagi, usaha-usaha ini masih berterusan dan mencerminkan kesediaan Malaysia untuk mencapai hasil yang adil serta mampan bagi kedua-dua pihak walaupun wujudnya kebimbangan yang dibangkitkan oleh AS mengenai ketidakseimbangan perdagangan dan akses pasaran. Pihaknya percaya, penglibatan dan dialog yang konstruktif kekal sebagai laluan terbaik ke hadapan.
Dengan jumlah perdagangan pada tahun 2024 meningkat hampir 30% kepada RM 324.9 bilion, A.S merupakan rakan dagang kedua terbesar dan destinasi eksport terbesar negara dengan nilai eksport ke A.S mencecah RM 198.7 bilion dan nilai import meningkat kepada RM 126.3 bilion.
Dalam pada itu, Malaysia melihat langkah-langkah unilateral berpotensi mengganggu operasi perniagaan, rantaian bekalan serta aliran pelaburan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Artikel berkaitan : Tarif Baharu Amerika Syarikat, Harga iPhone Dijangka Cecah RM10,000 Seunit
Artikel berkaitan : Terengganu Tuan Rumah Program MADANI Rakyat Edisi Ke-4
Kementerian tersebut juga yakin penyelesaian yang boleh diterima dan melindungi kepentingan kedua-dua negara dan rakyat sambil memastikan perdagangan dan pelaburan dua hala kekal sebagai kuasa positif demi pembangunan ekonomi yang mampan mampu dicapai.
Selain itu, Kerajaan kekal komited untuk melindungi kepentingan perniagaan, pekerja dan pengguna Malaysia dan akan mengambil pelbagai langkah yang perlu untuk mengurangkan impak tarif baharu ini.
Sumber: X