Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini melakar sejarah dengan mencipta dua rekod kebangsaan bersempena Program STI 100³ yang diluncurkan dengan tema “Saintis@Sekolah : Jom STI!”
Majlis yang disempurnakan oleh YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiara Permai, Kuala Lumpur tersebut juga melibatkan 9,000 buah sekolah secara serentak di seluruh negara yang melaksanakan aktiviti bersama saintis di premis sekolah masing-masing.
Lebih menarik, Program STI 100³ ini berjaya meraih dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu :
- Largest Scientist Participation in a Simultaneous ‘STEM’ Program: Scientists@Schools: Jom STI!
- Largest School Participation in a Simultaneous ‘STEM’ Program: Scientists@Schools: Jom STI!
Program STI 100³ merupakan langkah strategik MOSTI dalam usaha membina dan memperkukuh bakat STEM sejak peringkat awal persekolahan dan ia dirangka bagi menyokong aspirasi YAB Perdana Menteri untuk pastikan pendidikan Sains tidak lagi bersifat teori semata, sebaliknya diperkasa melalui pendekatan interaktif dan kolaboratif yang melibatkan komuniti saintis yang berinteraksi secara langsung dengan pelajar.
Dalam masa yang sama, melalui aktiviti luar bilik darjah ini, murid-murid diberi peluang meneroka aplikasi sebenar sains, teknologi dan inovasi (STI) secara lebih bermakna dan menyeronokkan.
Sejak mula dilaksanakan September 2024, program STI 100³ mencatat pencapaian yang membanggakan dengan pelaksanaan dua kitaran awal melibatkan 150 orang saintis dan 150 buah sekolah.
Meneruskan kesinambungan program tersebut, pelaksanaan Kitaran 1 Tahun 2025 kini sedang giat dijalankan dengan penglibatan 83 orang saintis bersama 83 buah sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM).
Program STI 100³ menyerlahkan komitmen MOSTI dalam memupuk minat terhadap Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) dalam kalangan pelajar sekolah. Inisiatif ini direka selari dengan Dasar Sains, Teknologi, dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 serta mendukung aspirasi Malaysia MADANI.
Dengan pendekatan kolaboratif bersama Kementerian Pendidikan (KPM), institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, pihak industri, dan NGO, program ini mengukuhkan prinsip Pendekatan Seluruh Kerajaan (Whole of Government Approach).
Matlamat utamanya adalah untuk memastikan akses pendidikan STEM yang menyeluruh dan inklusif kepada semua. Oleh itu, STI 100³ melangkaui peranan sekadar platform pembelajaran; ia merupakan landasan strategik yang penting untuk membina generasi muda yang celik sains dan berkeupayaan memacu Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.