Pelawak dan usahawan Shuib tampil menjelaskan berhubung kehilangan kereta jenis Toyota CHR berwarna kuning miliknya pada Isnin lalu.
Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad, 41, berkata, kereta terbabit yang telah dijumpai dalam keadaan baik sebenarnya ditunda oleh penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Katanya, kejadian itu berpunca daripada kesilapannya semasa meletakkan kenderaan itu sebelum menguruskan hal di mahkamah.
“Kereta itu sebenarnya ‘misplaced’ (salah letak) sahaja, tak ada isu besar pun. Saya tak mahu panjangkan cerita.
“Sekarang kereta sudah dapat, cuma saya tak ingat di seksyen berapa. Mamat yang beritahu kereta itu ada di MBSA,” katanya.
Artikel berkaitan: “Terima kasih buat mummy rasa seperti ibu…” – Ucapan Hari Lahir Ayash Affan Daripada Watie Buat Netizen Sebak
Artikel berkaitan: “Ujian dalam berniaga” – Shuib Mengaku Kini Berdepan Hutang Puluhan Juta Ringgit
Dalam pada itu, Shuib memuji keprihatinan rakyat Malaysia yang disifatkan sentiasa ringan tulang apabila berlaku insiden sebegini.
“Orang nak tolong carikan sebab rakyat Malaysia memang prihatin.
“Bagi yang beri pelbagai andaian atau kecaman itu, saya hadap sahaja. Tak ada masalah pun. Kereta itu pun hanya untuk hantar anak ke sekolah,” ujarnya.
Sebelum ini, Shuib meminta bantuan orang ramai apabila keretanya hilang ketika dia sedang menyelesaikan urusan di Mahkamah Shah Alam.
Situasi itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada netizen yang pada awalnya menyangka kereta Shuib benar-benar dicuri, apatah lagi insiden berkenaan berlaku hanya beberapa jam selepas dia selesai berurusan di mahkamah.
Sumber: Berita Harian