zii jia

Posting misteri oleh jaguh badminton negara, Lee Zii Jia baru-baru ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat sukan tanah air.

Tanpa sebarang kapsyen, Zii Jia memuat naik beberapa lukisan berwarna hitam putih di Instagram miliknya yang terus menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.

Ruangan komen pantas dibanjiri dengan kata-kata semangat daripada netizen dan rakan seperjuangan seperti Goh Jin Wei, Lai Pei Jing dan Yap Roy King.

Rata-rata meluahkan kebimbangan terhadap keadaan mental dan emosi pemain perseorangan negara itu. Ada juga yang tertanya-tanya adakah Zii Jia sedang tertekan atau cuba menyampaikan sesuatu?

Menjawab kebimbangan itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin tampil beri penjelasan.

Katanya, pihak MSN dan juga Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sudah menghubungi pasukan pengurusan Zii Jia untuk mendapatkan penjelasan sebenar.

“Setakat maklumat daripada pasukan dia (Zii Jia), tak ada perkara serius yang perlu dirisaukan. Mungkin Zii Jia hanya tunjukkan minat terhadap seni visual,” jelas Jefri.

Artikel berkaitan: Kongsi Beberapa Lakaran ‘Pelik’ Di Instagram, Posting Terbaharu Lee Zii Jia Buat Ramai Risau

Artikel berkaitan: “Bronze medalist punya” – Anak Hairul Azreen Terima Hadiah Raket Yang Lee Zii Jia Guna Semasa Olimpik

 Zii JiaSalah satu daripada hantaran yang dimuat naik oleh Zii Jia di laman Instagram beliau.

Walaupun Zii Jia kini bukan di bawah program MSN dan memiliki pasukan pemulihan sendiri, MSN tetap sedia membantu jika diperlukan.

Dalam pada itu, Jefri juga menegaskan agar orang ramai tidak membuat andaian tanpa fakta yang sah.

“Sebagai aset negara dan harapan ke Olimpik LA 2028, kami terbuka bantu dia bila-bila masa jika dia perlukan,” tambah Jefri.

Untuk rekod, Zii Jia kali terakhir beraksi di Kejohanan Seluruh England pada Mac lalu dan hanya sempat bermain dua kejohanan tahun ini akibat kecederaan buku lali yang dialaminya hujung tahun lepas.

Buat masa ini, pemain kelahiran Kedah itu sedang membuat persiapan bagi Kejohanan Dunia bulan depan. Jefri berharap tiada gangguan luar yang mengganggu fokus Zii Jia.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.