baca al quran terpanjang

Bersempena penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 tahun, satu percubaan untuk mencipta rekod Bacaan al-Quran Terpanjang dari KL Sentral ke Hatyai bakal diadakan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, inisiatif tersebut akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Record serta menampilkan bacaan al-Quran di dalam kereta api rentas sempadan antarabangsa.

Inisiatif ini membuktikan bahawa dakwah tidak terikat pada mimbar atau dewan, tetapi boleh disampaikan di mana jua dengan pendekatan segar, bermakna dan penuh nilai.

“Ia membuka lembaran baharu dalam penyampaian syiar Islam melalui teknologi, logistik dan kreativiti.

“Cuma, saya pesan kepada jawatankuasa penganjur, bila dalam kereta api itu ada orang lain, mungkin ada penumpang bukan Islam, kena pastikan tidak mengganggu orang lain,” katanya.

Artikel berkaitan: Menteri Agama Tegur Sikap Orang Awam Ambil Tanah Kubur Mangsa Nahas UPSI Untuk Tujuan ‘Berkat’

Artikel berkaitan: “Khatam Al Quran sehari sebelum pertandingan”- Datuk Azizulhasni Kongsi Rahsia Kekal Tenang

MTHQA yang ke-65 ini akan berlangsung pada 2 hingga 9 Ogos depan di WTCKL yang mana akan menyaksikan seramai 72 peserta dari 50 negara bakal berentap dalam dua kategori utama iaitu Tilawah dan Hafazan al-Quran 30 Juzuk.

al quran 169

Majlis pada tahun ini juga membawa tema “Membangun Ummah MADANI” yang mencerminkan aspirasi negara dalam membina masyarakat bertamadun yang berakar pada nilai-nilai Qurani.

Hadiah wang tunai yang lumayan turut menanti para pemenang dengan Johan bagi kedua-dua kategori akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM40,000, manakala Naib Johan dan tempat ketiga masing-masing akan menerima RM30,000 dan RM20,000.

Wah menarik ni ya. Belum pernah lagi dibuat acara membaca al-Quran terpanjang dalam kereta api. 

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.