Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini telah menolak kemasukan seramai 131 warga asing di Terminal 1 selepas kesemua didapati gagal memenuhi syarat kemasukan negara.
Operasi yang dijalankan bermula jam 3 petang hingga 10 malam di Balai Ketibaan Antarabangsa dan Pintu Pelepasan C1 hingga C37 Terminal 1 KLIA tersebut telah memeriksa lebih 300 warganegara asing.
Daripada jumlah tersebut, 96 lelaki Bangladesh, 30 lelaki Pakistan serta 5 warga Indonesia didapati tidak menepati syarat kemasukan.
Menurut kenyataan AKPS, antara pelanggaran yang dikenal pasti termasuklah tempahan penginapan yang meragukan, kegagalan melapor diri di kaunter imigresen dan membawa wang sara diri yang tidak mencukupi dan isu kewangan ini adalah penunjuk utama niat sebenar pelawat.
Mengambil contoh yang berlaku, ada antara pelawat tersebut ingin tinggal selama sebulan, namun hanya membawa wang sekitar RM500 dan ini sekali gus menimbulkan keraguan terhadap tujuan mereka ke negara ini.
Selaras dengan prinsip imigresen antarabangsa, semua pelawat yang memasuki mana-mana negara perlu membuktikan mereka tidak akan menjadi beban kepada negara yang dikunjungi.
Artikel berkaitan : 2 Sindiket Warga Asing Tawar Perkhidmatan Permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara Tumpas Lepas Diserbu Jabatan Imigresen
Artikel berkaitan : Musykil! JIM Siasat Perkahwinan Wanita Tempatan Warga Emas Dengan Lelaki Warga Asing Usia 20-an
Dalam pada itu, pihak AKPS KLIA menegaskan bahawa keselamatan dan kedaulatan sempadan negara akan terus menjadi keutamaan dan sebarang percubaan untuk memasuki negara ini melalui pemalsuan dokumen atau tujuan yang meragukan akan dikenakan tindakan tegas.
Justeru, para pelawat asing dinasihatkan agar memastikan dokumen perjalanan, perancangan penginapan dan sumber kewangan mereka adalah lengkap, tulen dan munasabah sebelum tiba di negara ini.