Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini mengumumkan yang Kadar Dasar Semalaman (OPR) diturunkan kepada 2.75 peratus berbanding kadar lama iaitu 3 peratus dan perkara ini berpotensi mengubah landskap kewangan kita.
Kepada korang yang sebelum ni tak amik tahu, atau tak tahu menahu tentang OPR ni, kami akan cuba jelaskan dalam bahasa yang paling mudah dalam perkongsian kali ini. Sebabnya, apa yang korang nampak ‘sekadar angka’ tersebut ada kesan langsung pada pinjaman dan pastinya kewangan korang!
Jom kita tengok dan fahamkan 5 kesan langsung yang boleh korang jangka dengan penurunan OPR ni.
1. Ansuran Loan Rumah & Kereta Mungkin Berkurang!
Siapa yang ada membuat pinjaman untuk beli rumah, kereta atau apa sahaja pinjaman yang kadarnya berubah-ubah pastinya berita ni menggembirakan.
Sebabnya, OPR ni sebenarnya ‘harga sewa duit’ yang bank-bank gunakan bila diorang pinjam sesama sendiri untuk semalaman. Jadi, bila BNM turunkan OPR ia ibarat diskaun yang diberikan kepada bank untuk kos pinjaman tadi.
Secara logik, bila kos bank berkurang, diorang boleh tawar kadar faedah yang lebih rendah kepada kita sebagai peminjam.
Mudahnya macam ni, bayangkan korang sewa bilik dan tiba-tiba tuan rumah cakap dia bagi diskaun untuk bulan ini. Mesti kita seronok kan, sebab kita akan ada duit lebih yang boleh digunakan untuk tujuan lain.
Tapi, kena ingat, ia hanya terpakai untuk pinjaman yang kadarnya berubah-ubah, bukan kadar tetap.
Macam Mana Nak Tahu Pinjaman Korang Kadar Berubah Ke Tidak?
Selalunya, korang boleh semak dokumen pinjaman (surat tawaran pinjaman atau loan agreement) yang korang tandatangan dengan bank. Kat situ akan tulis jenis kadar faedah yang digunakan, sama ada:
- “Variable Rate” / “Floating Rate” (Kadar Berubah / Kadar Terapung)
- “Fixed Rate” (Kadar Tetap)
- Atau ia akan merujuk kepada Standardised Base Rate (SBR), Base Rate (BR), atau Base Lending Rate (BLR) + satu ‘spread’ (contoh: SBR + 1.35%).
Kalau ada perkataan SBR, BR, atau BLR, itu dah confirm pinjaman korang adalah kadar berubah dan akan terkesan dengan perubahan OPR!
2. Pulangan Duit Simpanan Dalam Bank Mungkin Berkurang
Korang kena tahu, bila OPR turun, kadar faedah untuk akaun simpanan biasa dan simpanan tetap dekat bank akan cenderung ikut turun.
Maksudnya, duit yang tersimpan dalam akaun simpanan atau FD tu takkan ‘beranak’ semeriah dulu. Pulangan atau keuntungan yang kita peroleh sebelum ni akan jadi rendah sikit.
3. Lebih Mudah Nak Dapat Loan Baharu Dengan Kadar Lebih Rendah
Kalau korang ada perancangan nak beli rumah pertama, tukar kereta atau nak mohon pinjaman peribadi, sekarang merupakan masa yang terbaik. Bila OPR lebih rendah, kadar pinjaman baharu yang bank offer akan jadi lagi menarik dan murah.
Secara tak langsung, kos meminjam lagi rendah dan beban ansuran bulanan korang taklah tinggi kalau nak dibandingkan dengan kadar terbaharu 2.75% tu.
4. Ekonomi Negara Akan Cuba Dihidupkan Semula
Penurunan OPR ni bukan cerita pasal ‘poket’ individu je sebenarnya, ada tujuan besar yang BNM nak capai iaitu menggalakkan perbelanjaan dan pelaburan dalam ekonomi negara.
Kenapa BNM buat macam tu?
Bila kadar faedah rendah, orang dan syarikat lebih berani nak pinjam duit. Orang akan buat pinjaman untuk beli barang, baiki rumah, atau mulakan perniagaan. Untuk syarikat pula, mungkin masa ini diorang akan beli mesin baharu, kembangkan operasi dan sebagainya.
Bila segala pembelian ni berlaku, duit dalam pasaran akan bergerak lancar. Secara tak langsung, aktiviti ekonomi jadi aktif dan berkembang.
5. Peluang Untuk Teroka Pelaburan Lain
Memandangkan kadar faedah untuk simpanan biasa dan FD di bank mungkin kurang menarik, ini boleh jadi peluang untuk korang teroka instrumen pelaburan lain yang berpotensi memberi pulangan lebih tinggi.
Contohnya? Korang boleh tengok-tengok Unit Trust, Amanah Saham Bumiputera (ASB), bon, atau kalau ada ilmu dan berani ambil risiko, pasaran saham pun boleh dipertimbangkan. Tapi, INGAT setiap pelaburan ada risikonya sendiri. Jangan main redah je tanpa ilmu yang cukup, atau ikut kawan-kawan buta-buta! Buat kajian dulu.
Artikel berkaitan : “Mesti ada untung dan rugi” – Pegawai Bank Negara Dedah ‘Red-Flag’ Dalam Pelaburan
Artikel berkaitan : “Ringgit semakin mengukuh” – Ini Beberapa Faktor Yang Rakyat Malaysia Perlu Tahu
Secara kesimpulannya, penurunan OPR kepada 2.75 peratus ni memang ada impak terus pada kewangan kita. Sama ada positif atau negatif, semuanya bergantung pada status kewangan korang. Yang paling penting, ambil tahu, fahamkan, dan buat keputusan kewangan yang bijak!