Tak sangka kan, zaman sekarang belajar teknologi canggih tak semestinya mahal… malah boleh jadi percuma!
Kalau korang masih blur bila dengar perkataan macam “AI”, “cloud”, atau “blockchain”, program Rakyat Digital mungkin jawapannya. Inisiatif oleh Kementerian Digital ni dah mula buka mata ramai—bahkan lebih 1 juta orang dah join program AI untuk Rakyat sejak ia dilancarkan.
Inisiatif yang diterajui oleh Kementerial Digital melalui MyDIGITAL Corporation ni bertujuan untuk membekalkan rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan kemahiran asas untuk berjaya dalam mana-mana bidang berkaitan teknologi dan ia selari dengan agenda negara yang mengiktiraf keupayaan digital dan juga kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.
Menurut YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital berkata, Rakyat Digital merupakan tonggak penting dalam perjalanan Malaysia untuk menjadi negara digital yang maju dan melalui kerjasama awam-swasta sebegini, ia membekalkan rakyat dengan kemahiran digital yang penting sejak ia mula diperkenalkan.
Tambahnya lagi, platform ini memastikan tiada sesiapa akan ketinggalan dalam revolusi digital, seterusnya menyumbang kepada kepimpinan Malaysia dalam ekonomi digital global.
Platform ini menyatukan kerajaan dan rakan industri dari seluruh negara. Sebagai contoh, Cybersecurity Malaysia, Intel, iTrain, Microsoft, Trainocate dan lain-lain. Bersama-sama, mereka ini telah menyediakan pelbagai modul atas talian yang praktikal dan interaktif untuk memperkukuh keupayaan digital negara.
Model kolaboratif ini menggabungkan kepimpinan sektor awam dengan kepakaran pemain industri yang menyediakan kandungan bernilai tinggi secara percuma, membolehkan latihan berkualiti tinggi dapat diakses oleh orang ramai tanpa sebarang bayaran dan ini secara tak langsung meluaskan capaian dan juga impak program berkenaan.
Susulan kejayaan program AI untuk Rakyat yang mendapat penyertaan lebih 1 juta rakyat dalam tempoh enam bulan, kini platform Digital Rakyat menawarkan lebih banyak kursus percuma seperti :
- CyberSAFE® untuk Rakyat – Mengajar kemahiran asas keselamatan siber untuk melindungi aset digital.
- Generative AI – Menerangkan bagaimana mesin mencipta kandungan asli serta aplikasinya di dalam dunia sebenar.
- Cloud untuk Rakyat – Meliputi model awan, keselamatan, pelaksanaan, dan penggunaan praktikal.
- AI Fluency – Memperkenalkan asas AI, penggunaan bertanggungjawab, dan kesannya dalam kehidupan harian.
- Blockchain untuk Rakyat – Menjelaskan konsep blockchain, penggunaannya, dan peranannya dalam masa depan digital Malaysia.
Selain itu, tidak lama lagi, kursus baharu seperti Data untuk Rakyat dan Quantum untuk Rakyat juga akan diperkenalkan bagi memperdalam lagi pengetahuan digital rakyat.
Kalau korang rasa dah ready nak jadi ‘tech-savvy’ dan tak nak ketinggalan dalam dunia digital, boleh ke rakyatdigital.gov.my untuk tengok senarai penuh kursus.