ft jabatan perikanan

Sektor perikanan negara menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada tahun 2024 dengan mencatatkan pertumbuhan pengeluaran sebanyak 7.1 peratus.

Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, jumlah keseluruhan hasil perikanan yang kita dapat ialah 1.91 juta tan metrik. Bayangkan, ini peningkatan daripada 1.79 juta tan metrik pada tahun sebelumnya. Bukan setakat cukup untuk kita makan, sektor ini juga banyak membantu ekonomi negara dengan menyumbang sebanyak RM11.8 bilion kepada poket negara (KDNK).

Tuai Hasil Ikan Susu

Dari Mana Datangnya Semua Ikan Ni?

Nak tahu tak, kenapa hasil ikan kita banyak sangat tahun lepas?

  • Tangkapan Laut Paling Juara: Paling banyak datangnya daripada hasil tangkapan nelayan di laut, yang naik sebanyak 9.6 peratus! Mereka berjaya bawa balik 1.39 juta tan metrik ikan. Nelayan yang dekat dengan pantai dapat 1.18 juta tan metrik, manakala yang ke laut dalam dapat 210 ribu tan metrik. Ini sebab bot-bot besar (zon C dan C2) dah boleh beroperasi sepenuhnya, terutamanya di kawasan pantai barat Semenanjung.
  • Ikan Ternak Pun Naik Sikit: Yang ternak ikan dalam sangkar (akuakultur) pun ada peningkatan. Hasil ternakan dapat 511 ribu tan metrik. Ternakan ikan air tawar naik 5.7 peratus dan air payau naik 2.0 peratus. Cuma hasil rumpai laut saja yang kurang sikit.
  • Lain-lain: Hasil dari sungai dan tasik juga ada naik sikit. Tapi, pengeluaran ikan hiasan yang comel-comel tu ada penurunan sikit tahun lepas.

IMG 20240310 WA0007

Dari segi perdagangan antarabangsa pula, Malaysia kekal sebagai pemain aktif di pasaran global dengan nilai eksport hasil perikanan berjumlah RM4.02 bilion dan nilai import mencecah RM6.35 bilion. Negara destinasi utama untuk eksport termasuklah China, Vietnam, dan Thailand.

Sektor ini juga merupakan sumber pekerjaan yang penting, melibatkan kira-kira 106,000 nelayan dan 16,873 pengusaha akuakultur yang aktif di seluruh negara. Namun, jumlah vesel penangkapan ikan dilaporkan menurun kepada 43,000 unit, dengan penurunan terbesar dicatatkan di Sabah.

Menurut Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Adnan bin Hussain, prestasi stabil sektor ini pada 2024 membuktikan daya tahannya dan sumbangan penting kepada sekuriti makanan serta pembangunan ekonomi pesisir pantai.

Beliau menambah bahawa Jabatan Perikanan komited untuk memacu pertumbuhan sektor ini selaras dengan Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0). Usaha ini termasuklah pemodenan industri, pemerkasaan komuniti, pemuliharaan sumber marin, dan peningkatan daya saing rantaian nilai perikanan tempatan secara lestari.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.