Bapa kepada Muhammad Isyraf Danish Razmi, remaja berumur 15 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuantan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam, Indera Mahkota, Pahang meluahkan rasa terkejut seletalah mengetahui berita mengenai anaknya itu.
Jelas Razmi Yaacob lagi, selalunya anaknya itu akan mengajaknya bila hendak keluar memancing bersama, namun pada petang semalam anaknya itu langsung tak memaklumkan kepadanya, sebaliknya Isyraf Danish menjalankan aktiviti tersebut bersama rakan-rakan.
Artikel berkaitan : Kerajaan Teliti Cadangan Bina Pagar Penghadang & Pasang Lampu Jalan Sepanjang Sungai Korok
Artikel berkaitan : 3 Kes Kemalangan M*ut Yang Pernah Berlaku Di Sungai Korok Sebelum Ini
Kata pengusaha bengkel kereta itu, dia terima panggilan tentang berita mengenai kehilangan anaknya itu kira-kira jam 7.20 petang.
“Saya sangka dia keluar bermain bola seperti kebiasaan setiap petang jadi terkejut bila dapat panggilan daripada pihak polis beritahu dia jatuh sungai dan dikhuatiri lemas.”
“Ketika itu saya berada di bandar Kuantan cadangnya ke klinik untuk memeriksa mata. Bila dapat panggilan mengejutkan itu, saya batalkan hasrat dan terus ke lokasi.”
Kata Razmi, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya itu pada Ahad lalu.
“Kami tinggal berasingan selepas berpisah dengan ibunya namun sudah rutin setiap kali hari minggu saya akan bawa dia keluar berjalan-jalan. Waktu itu dia bersikap seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan.”
Tambahnya, dia sendiri tak pasti bagaimana anaknya boleh terjatuh ke dalam sungai tersebut.
“Saya dapat tahu dia memancing bersama rakan di tebing sungai dan mungkin tergelincir sebelum terjatuh dan tenggelam.”
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian menimpa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Mahkota 2 itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.30 petang.
Mangsa dikatakan sedang memancing bersama rakan dipercayai turun ke gigi air untuk menarik tali pancing tersekat sebelum terjatuh dan tenggelam.
Sumber : Sinar Harian