Badak air pygmy paling terkenal di Thailand, Moo Deng, kini genap 1 tahun selepas menyambut hari jadinya pada 10 Julai lalu.
Sambutan ulang tahun Moo Deng dibuat dengan cukup gilang-gemilang di Zoo Terbuka Khao Kheow, kira-kira 100km dari Bangkok. Ribuan peminat membanjiri kawasan zoo sempena pesta empat hari yang dianjurkan khas untuknya.
Antara acara menarik termasuk pameran foto, perarakan khas dan lelongan amal.
Paling mencuri tumpuan, Moo Deng menikmati kek buah seberat 20kg yang diukir cantik gaya tradisional Thai.
Kek istimewa itu dibawa masuk oleh tiga penjaga zoo untuk dikongsi bersama ibunya, Jona, yang berusia 26 tahun.
Moo Deng, yang namanya bermaksud “babi melantun” dalam bahasa Thai, mula menjadi perhatian dunia sejak tahun lalu apabila wajah comelnya dengan pipi merah jambu dan gaya ‘terlompat-lompat’ tular di media sosial.
Sejak itu, pelbagai fan art, meme, lagu dan barangan khas terhasil khas untuk si comel ni.
Artikel berkaitan: Zoo Taiping Umum Kelahiran Anak Badak Air, Ramai Teruja Nak Bagi Nama
Artikel berkaitan: Zoo Di Thailand Untung RM 1.5 Juta Gara-gara Badak Air Kerdil “Moo Deng”

Menurut penjaganya, Atthapon Nundee, kehadiran Moo Deng telah melonjakkan jumlah pelawat dan membantu menjana pendapatan zoo. Wang tersebut digunakan untuk naik taraf kemudahan zoo secara menyeluruh.
Bukan itu saja, beberapa barangan peribadi Moo Deng turut dilelong.
Antaranya termasuk tab mandi plastik yang digunakan sejak lahir yang berjaya dijual pada harga 50,000 baht (RM6,600).
Tapi paling menakjubkan ialah acuan tapak kaki Moo Deng terjual pada harga 700,000 baht (lebih RM92,000)!