Selamat Tinggal Bas Diesel! Prasarana Lancar 310 Unit Terakhir Sebelum Beralih Sepenuhnya Ke Bas Elektrik 2037

7 hours ago 8

Satu langkah besar telah diambil oleh Prasarana Malaysia Berhad hari ini, menandakan permulaan era baru dalam sektor pengangkutan awam negara. Syarikat itu secara rasmi melancarkan kumpulan terakhir 310 buah bas diesel baharu di bawah Program Penggantian Bas 2025 melibatkan bas untuk perkhidmatan Rapid KL dan Rapid Penang.

Bukan sekadar pelancaran biasa, pelancaran 310 unit bas ini merupakan pembelian bas diesel terakhir oleh Prasarana. Menteri Pengangkutan, YB Loke Siew Fook, sendiri menegaskan bahawa langkah ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk beralih kepada sistem pengangkutan awam yang lebih lestari, mesra alam, dan rendah karbon.

“Sebagai pengendali utama pengangkutan awam negara, Prasarana memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan bas dan tren yang selamat, cekap, dan boleh dipercayai,” kata YB Loke Siew Fook.

Bas Diesel05

Tambahnya lagi, beliau yakin mutu perkhidmatan akan terus dipertingkatkan dengan kehadiran bas baharu ini, memberikan keselesaan, keselamatan, dan akses yang lebih baik kepada rakyat.

Program penggantian bas ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang Prasarana untuk memperbaharui aset lama dan memperkukuh keupayaan operasi mereka, seiring dengan aspirasi Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Malaysia untuk memperkasa sistem pengangkutan awam. Bas-bas diesel ini akan mula beroperasi secara berperingkat di laluan-laluan terpilih, terutamanya di kawasan berpenduduk padat dengan permintaan tinggi.

Bas Higer dari China, Dipasang di Johor: Sokong Industri Tempatan!

Kalau korang nak tahu, kesemua 310 bas baharu ini adalah dari jenama Higer yang diimport dari China. Pun begitu, semua komponen bas ini dipasang sepenuhnya di Johor. Ini merupakan satu inisiatif penting yang menyokong agenda pemindahan teknologi dan pembangunan industri automotif tempatan. Selain itu, program ini turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dan membangunkan kepakaran tempatan.

Bas Diesel11

Dari segi alam sekitar, bas-bas ini memenuhi piawaian pelepasan Euro 5 , iaitu piawaian global yang ketat dalam kawalan pelepasan bahan pencemar termasuk gas nitrogen oksida (NOx). Ini dijangka akan membantu meningkatkan kualiti udara, khususnya di kawasan bandar utama.

Bas Elektrik Penuh Menjelang 2037

Walaupun pelancaran hari ini adalah mengenai bas diesel baharu, ia sebenarnya menandakan permulaan fasa penutup kepada penggunaan bas diesel kerana Prasarana kini sedang bersiap sedia untuk peralihan ke fasa seterusnya, iaitu penggunaan bas elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2037. Ini membuka laluan kepada sistem pengangkutan yang lebih hijau.

Bas Diesel17

Kerajaan, melalui Kementerian Pengangkutan, komited dalam memastikan sektor pengangkutan awam negara terus maju dengan pendekatan mesra alam dan teknologi mampan. Ini selaras dengan komitmen Prasarana dalam mendokong matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB).

Selain itu, Prasarana juga telah mula giat melaksanakan pembinaan fasiliti pengecasan, latihan teknikal, dan penyelenggaraan sebagai persediaan untuk peralihan ini.

Mengakhiri ucapannya, YB Loke Siew Fook mengucapkan tahniah kepada Prasarana dan Rapid Bus atas pencapaian ini dan persediaan mereka menuju transformasi sistem pengangkutan awam negara. Beliau menyeru agar semua pihak, sama ada sektor awam mahupun swasta, untuk terus bekerjasama memartabatkan pengangkutan awam sebagai pilihan utama rakyat.

“Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, saya yakin kita akan mewujudkan sistem pengangkutan awam yang efisien, inklusif, dan mesra alam untuk masa depan negara dan generasi akan datang,” tambahnya.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |