Perselisihan faham yang berlarutan boleh membawa kepada yang lebih besar, seperti kes baru-baru ini di mana seorang komposer dan gitaris bertidak memukul jirannya selepas lama tidak sefahaman.
Menurut laporan Harian Metro, siasatan awal polis mendapati komposer yang juga gitaris yang ditahan polis kelmarin, kerana memukul jirannya sudah beberapa kali berselisih faham dan bertengkar akibat bunyi alat muzik yang bising sehingga mengganggu mangsa.
Artikel berkaitan: Eros Sheila On 7 Lelong Gitar Peribadi Demi Gaza, Raih Lebih RM90 Ribu!
Artikel berkaitan: Jadikan Konten Di Neraka Sebagai Bahan Gurau, PU Syed Harap Pihak Berkuasa Negara Jiran Ambil Tindakan
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa yang bekerja sebagai tukang masak berusia 52 tahun itu membuat laporan polis 30 Jun lalu menyatakan pada 6.30 pagi ketika sedang tidur di bilik sewa, dia terjaga dari tidur akibat terdengar bunyi hempasan pintu bilik air.
Beliau berkata, kerana tidak berpuas hati, lelaki itu keluar dari biliknya dan menghempas pintu bilik air itu semula.
“Tidak lama kemudian, jiran di sebelah bilik lelaki itu iaitu suspek keluar membawa batang besi dan terus memukulnya.
Berlaku pertengkaran mulut lalu suspek mengugut akan membawa kawannya untuk memukul mangsa. Ia menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di tangan,” katanya.
Susulan itu, pada 4.45 petang kelmarin, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek berusia 46 tahun di Pandan Indah.
“Polis membuat rampasan satu batang pemegang gitar warna hitam bagi membantu siasatan.
Hasil ujian air kencing suspek dapati negatif dadah dan semakan dapati suspek tiada rekod jenayah lampau,” katanya.
Beliau juga berkata, siasatan awal pihak polis dapati kejadian berpunca daripada bunyi kuat akibat pintu bilik air dihempas oleh suspek.
“Pengadu dan suspek juga pernah beberapa kali berselisih faham dan bertengkar berpunca daripada masalah bunyi alat muzik yang bising dimainkan oleh suspek sehingga menyebabkan dia tidak dapat berehat walaupun ditegur berulang kali.
Suspek dibebaskan dengan jaminan polis setelah percakapannya dirakam pada hari sama ditangkap,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro