LCS 2

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan upacara pelancaran dan penamaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) kedua milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut Naval Shipyard, atau lebih dikenali sebagai LUNAS.

Turut berangkat pada majlis tersebut Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pembinaan LCS kedua yang dimulakan pada 2017 tersebut secara rasmi dilancarkan dan dinamakan ‘Raja Muda Nala’ bersempena nama tokoh pejuang tersohor yang telah memimpin perjuangan rakyat Selangor menentang penguasaan Belanda.

043A5543

Sebagai simbolik pelancaran, satu kendi yang mengandungi himpunan air daripada sembilan masjid yang mewakili daerah-daerah di Selangor yang telah dibacakan surah Yasin telah dilepaskan ke dinding haluan kapal.

Penamaan dan pelancaran kapal itu merupakan tradisi tentera laut sejak ianya ditubuhkan sebelum kapal baharu ditauliah dalam perkhidmatan TLDM.

Menjelaskan tentang pemilihan nama tersebut, ianya simbol keazaman, keberanian dan semangat juang tokoh berkenaan dan dalam konteks ini, ianya dilihat amat bertepatan dan selari dengan keupayaan Kapal Tempur Persisir TLDM yang direka untuk menghadapi pelbagai bentuk ancaman dalam era perperangan moden.

043A5499 043A4974

LCS kedua (LCS 2) ini dalam masa yang sama menjadi simbol kebangaan negara kerana ia merupakan kapal kelas frigat pertama yang dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd.

Majlis penamaan kapal LCS 2 ini juga merupakan satu lagi pencapaian bermakna Kementerian Pertahanan dalam pelaksanaan projek nasional. Ianya merupakan sebahagian daripada perancangan strategik TLDM dalam memperkukuh kesiagaan armada menerusi pemilikan aset berteknologi tinggi, berkemampuan tempur dan berkeupayaan melaksanakan pelbagai operasi maritim demi mempertahankan kedaulatan perairan negara.

Terdahulu, LCS pertama (LCS 1) telah dilancarkan mengikut jadual kontrak pada 23 Mei 2024 dan dijangka menjalani aktiviti pelayaran sulung pada Disember nanti.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.