Tiba-tiba Ada Serangan Di Sempadan Thailand-Kemboja, Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

1 day ago 9

Semalam, media melaporkan berlaku serangan udara di sempadan Thailand dan Kemboja yang mana pertempuran tercetus berhampiran Kuil Ta Muen Thom dan kawasan pertikaian lain.

Akibat serangan itu, Tentera Diraja Thailand (RTA) mendakwa sekurang-kurangnya sembilan orang awam terbunuh, manakala 14 lagi cedera.

Ekoran itu, pihak berkuasa Thailand telah memindahkan lebih 40,000 penduduk dari 86 kampung di kawasan sempadan ke lokasi perlindungan sementara, susulan peningkatan serangan dan penggunaan senjata berat oleh kedua-dua pihak.

Namun, dari pihak Kemboja pula, mereka menafikan memulakan serangan dan hanya bertindak balas selepas diserang terlebih dahulu oleh tentera Thailand.

Kementerian Pertahanan Kemboja menyifatkan tindakan Thailand sebagai serangan tidak berasas dan melanggar kedaulatan negara.

pic.twitter.com/K1CGiftG8T

— @ (@anthraxxxx) July 24, 2025

Artikel berkaitan: Ketua Polis Negara Minta Rakyat Malaysia Jaga-Jaga Jika Bercuti Ke Thailand Sempena Deepavali Ini

Artikel berkaitan: “Kenyataan rasis” – Usahawan Kemboja Hina Melayu Malas, Komuniti Melayu Champa Buat Laporan Polis

Kenapa tiba-tiba berlaku serangan Thailand-Kemboja?

Ketegangan yang berlaku di kedua-dua negara jiran ini pastinya menimbulkan persoalan dalam kalangan kita tentang apakah sebenarnya yang berlaku.

Krisis ini berpunca akibat pertikaian sempadan lama antara kedua-dua negara yang melibatkan kawasan bersejarah dan kuil purba seperti Preah Vihear, Ta Muen Thom dan Ta Krabey, yang menjadi rebutan sejak lebih 100 tahun lalu.

LawatanSehariPeribadiKuilPreahVi

Kedua-dua negara membuat tuntutan mengikut peta sempadan masing-masing. Thailand menggunakan peta berdasarkan sempadan semula jadi, manakala Kemboja berpegang kepada peta era penjajahan Perancis yang diiktiraf oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 1962.

Walaupun keputusan ICJ menyebelahi Kemboja, Thailand berpendapat beberapa kawasan berhampiran kuil itu tidak termasuk dalam keputusan asal.

Untuk lebih mudah faham, ini kronologi sejarah sengketa sempadan Thailand-Kemboja.

1907: Peta sempadan dilakar oleh penjajah Perancis, meletakkan Kuil Preah Vihear dalam wilayah Kemboja. Thailand kemudian mempertikaikan ketepatan peta tersebut.

1962: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa Preah Vihear milik Kemboja, namun kawasan sekitar kuil masih menjadi pertikaian hingga ke hari ini.

2008: Kemboja berjaya mendaftarkan Preah Vihear sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, mencetuskan bantahan dan pertempuran bersenjata dengan Thailand.

2011: Konflik memuncak dengan pertukaran tembakan artileri selama seminggu, menyebabkan lebih 36,000 orang dipindahkan.

2013: ICJ mengesahkan semula keputusan 1962 dan mengarahkan pengunduran tentera dari zon pertikaian.

Pada Mei lalu, seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam pertempuran singkat di antara pasukan Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan yang dipertikaikan yang dikenali sebagai Segi Tiga Zamrud (sempadan Thailand, Kemboja, Laos).

Kedua-dua pihak mendakwa bertindak atas alasan mempertahankan diri dan saling menyalahkan atas pertempuran tersebut.

518418606 10223024074909931 1066284482837373446 n

Lebih memburukkan keadaan, pada 1 Julai lalu, Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, digantung tugas dan berdepan kemungkinan pemecatan selepas panggilan telefon dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, bocor apabila beliau didakwa mengkritik cara tentera Thailand mengendalikan konflik.

Kemudian, seorang anggota tenteta Thailand kehilangan kaki akibat letupan periuk api di kawasan sempadan, dan tiga lagi cedera dalam kejadian serupa.

Thailand menuduh Kemboja menanam periuk api baharu, namun Kemboja menegaskan bahawa periuk api tersebut adalah tinggalan perang saudara dan menuduh tentera Thailand menyimpang dari laluan yang dipersetujui.

Susulan itu, Kemboja memasang kawat duri dan mendirikan pos kawalan tentera baharu di kawasan sempadan berhampiran Surin dan Si Sa Ket di Thailand, disusuli penggunaan dron pemantauan dan penempatan roket jarak sederhana.

Gwnw1Z7XMAE8Dia

Thailand tidak berdiam diri, mereka terus menempatkan jet pejuang F-16, kereta kebal dan pasukan artileri di sepanjang sempadan.

Kemboja kemudiannya membalas dengan melepaskan roket BM-21 dan tembakan artileri, menyebabkan korban jiwa dalam kalangan orang awam di Thailand.

Serangan terbaharu inilah membimbangkan kita kerana sedikit sebanyak kita juga terkena tempias sama ada dari segi ketidakstabilan politik serantau mahupun gangguan kepada perdagangan ASEAN.

Menurut sumber, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN dan negara jiran termasuk Malaysia dan Indonesia telah menyeru kedua-dua pihak menamatkan konflik secara diplomatik. Namun, sehingga kini belum ada rundingan rasmi yang dimuktamadkan.

Apa yang berlaku antara kedua-dua negara itu bukan sekadar isu sempadan, tetapi melibatkan soal kedaulatan, sejarah dan maruah nasional kedua-dua pihak.

Sumber: Sinar Harian, Astro Awani, Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |