Seorang pegawai penguat kuasa telah ditahan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini, disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku “Counter Setting”.
Penahanan ini dilakukan oleh Unit Pemantau dan Unit Integriti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
Dalam operasi penahanan kira-kira jam 9:20 pagi itu, sejumlah wang tunai berjumlah RM8,391.45, tiga peranti komunikasi, dan beberapa catatan nombor pasport telah ditemui dalam simpanan pegawai tersebut.
AKPS mengesan tindakan mencurigakan pegawai terbabit melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter pemeriksaan masuk dan siasatan awal mendapati catatan yang ditemui mengandungi empat digit terakhir nombor pasport, dipercayai berkaitan dengan aktiviti mengatur laluan keluar masuk individu secara tidak sah.
Pegawai yang ditahan itu pada mulanya diserahkan kepada Unit Integriti AKPS KLIA untuk siasatan dalaman sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk tindakan lanjut.
AKPS memandang serius sebarang bentuk pelanggaran integriti, terutamanya yang melibatkan keselamatan pintu masuk negara, dan berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang terlibat.
Agensi ini juga menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh pemantauan dalaman dan kerjasama antara agensi bagi memerangi salah laku dalam kalangan pegawai.