Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan keletihan selepas menyertai aktiviti berbasikal sejauh hampir sembilan kilometer sempena program Picnic & Potluck sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-100, pagi tadi.
Program yang diadakan di kawasan Tasik Putrajaya itu turut meraikan ulang tahun kelahiran isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali yang kini mencecah usia 99 tahun.
Menurut laporan Harian Metro, Tun Mahathir hadir seawal jam 7.45 pagi dan memandu sendiri ke lokasi program sebelum menyertai kayuhan basikal bersama pegawai keselamatannya secara basikal tandem.
Selepas mengayuh hampir 9KM, beliau dilihat berhenti untuk berehat dan menikmati sarapan ringan, sebelum beredar sekitar jam 10 pagi untuk pulang ke rumah bagi berehat.
Artikel berkaitan: Tun Mahathir Buat Kejutan, Tampil Sebagai Penonton Di Sambutan Hari Kemerdekaan
Artikel berkaitan: Berjaya Buka Kilang & Cipta Peluang Pekerjaan, Tun Mahathir Kagum Kejayaan Khairulaming

Anak beliau, Tan Sri Mokhzani Mahathir memaklumkan bahawa ayahnya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan, namun sedikit letih kerana menghadiri satu program pada malam sebelumnya dan tidak cukup tidur.
“Selepas bersarapan dan menjamah sedikit kuih serta kopi, beliau kembali segar,” katanya.
Majlis pagi itu turut dihadiri lebih 500 tetamu yang membawa makanan masing-masing untuk bersarapan santai bersama di tepi tasik. Antara yang hadir ialah Tun Dr. Siti Hasmah, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, serta beberapa ahli keluarga terdekat.
Untuk rekod, Tun M baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya ke-100 pada 10 Julai lalu, manakala Tun Siti Hasmah menyambut ulang tahunnya yang ke-99 dua hari kemudian.
Walaupun usia mereka sudah mencecah hampir satu abad, kedua-dua tokoh ini masih kelihatan sihat, bertenaga dan aktif menyertai pelbagai program termasuk memandu sendiri dan berbasikal.
Semoga Tun dan Tun Hasmah terus diberikan kesihatan yang baik dan terus menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia.