Seorang lelaki warga Belgium berusia 76 tahun menjadi mangsa penipuan cinta dalam talian selepas menempuh perjalanan sejauh 760km ke selatan Perancis untuk bertemu wanita yang disangkanya bakal isteri . Namun realitinya, beliau telah ditipu secara licik oleh sindiket penipuan siber.
Memetik laporan Astro Awani, lelaki berkenaan, dikenali sebagai Michel, tiba di kediaman bekas finalis Miss France 2007, Sophie Vouzelaud, hanya untuk disambut oleh suami sebenar wanita itu, Fabien.
Michel mendakwa telah berhubung melalui WhatsApp selama beberapa minggu dengan individu yang menyamar sebagai Sophie dan telah menyerahkan lebih €30,000 (bersamaan kira-kira RM148,000) kepada penipu tersebut.
Kisah pertemuan mengejut itu dirakam oleh Fabien dan kini tular di media sosial, sekali gus menarik perhatian ramai terhadap taktik penipuan cinta (love scam) yang menyasarkan emosi dan kewangan mangsa.
Sophie, 38, yang terkenal memperjuangkan hak golongan kurang upaya, dan suaminya berusaha memujuk Michel agar membuat laporan polis, walaupun belum dipastikan sama ada tindakan itu telah diambil.
Kisah ini menjadi peringatan bahawa love scam terus menjadi ancaman, terutama kepada golongan warga emas yang lebih mudah terdedah akibat kesunyian dan kepercayaan terhadap hubungan dalam talian.
Baca: Pengurus Analisis Rugi RM300,000 Terpedaya Love Scam Warga Amerika Syarikat