Persenda Rukun Negara

Polis telah menahan tiga daripada lima pelakon bagi membantu siasatan susulan tular video pementasan teater yang didakwa mempersendakan Rukun Negara serta mengandungi unsur menyentuh sensitiviti kaum.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, ketiga-tiga individu terbabit terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 28 hingga 47 tahun.

Mereka ditahan di Selangor dan Johor pada Isnin lalu untuk dirakam keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Ketiga-tiga mereka sudah diberi jamin polis selepas keterangan selesai dirakam dan pemeriksaan mendapati tiada kandungan pementasan berkenaan dalam telefon bimbit atau gajet mereka.

“Daripada lima pelakon yang dikenal pasti, seorang sudah meninggal dunia, manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom berdasarkan rekod imigresen,” katanya.

Artikel berkaitan: Gara-gara Persenda China Sebagai ‘Negara Pengintip’, Akaun Weibo Uncle Roger Kena ‘Banned’

Artikel berkaitan: Kutuk Malaysia & Jadikan MH370 Bahan Jenaka, Tindakan Pelawak Singapura Dikecam

Pementasan berlaku pada 2018

Siasatan mendapati pementasan tersebut sebenarnya berlangsung secara tertutup di sebuah pusat seni persembahan di Pulau Pinang pada 2018.

Ketika itu, rakaman berkenaan tidak tular dan tiada laporan polis dibuat berkaitan pementasan tersebut.

Kumar berkata, acara itu membabitkan beberapa kumpulan yang diberikan tempoh antara 10 hingga 15 minit untuk membuat persembahan sebelum pemilihan dibuat bagi menentukan persembahan terbaik.

Difahamkan, pusat seni persembahan terbabit sudah ditutup. Sementara itu, pengarah pementasan merupakan seorang warga UK yang sudah meninggalkan Malaysia dan kini dipercayai berada di negara tersebut.

Dalam pada itu, polis kini sedang mengesan individu yang menularkan semula rakaman pementasan terbabit, termasuk meneliti alamat Protokol Internet (IP) berkaitan.

Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.