Kunjungan ke kampung halaman untuk mengambil ubat bertukar tragedi menyayat hati apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh bapa saudaranya di Kampung Padang, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.
Kanak-kanak berkenaan, Puteri Nur Afiyah Qalesya Mustafa, 5, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ditemui tertiarap di tebing sungai berhampiran rumah keluarga mereka.
Artikel berkaitan: “Saya tunggu tak datang-datang” – Peniaga Sebak Kenang 4 Sahabat Sempat Pesan Beli Jajan Sebelum Tragedi Lemas
Artikel berkaitan: 2 Pelajar IPG Ditemui Lemas Ketika Sertai Aktiviti Berkayak Di Kawasan Pantai Merdeka

Menurut nenek mangsa, Mahani, sebelum kejadian tragis itu berlaku, mereka sempat bersarapan bersama di rumah sebelum cucunya meminta izin untuk bermain di luar.
“Puteri kemudian bermain buaian dan selepas itu saya mula tercari-cari dia. Saya tanya bapanya tetapi dia juga tak tahu.
Saya rasa tak sedap hati lalu ajak menantu pergi ke sungai sebelum ternampak selipar Puteri di atas tebing,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Muszaidi Makmor berkata, mangsa bersama bapanya yang berusia 40 tahun dan mengusahakan kedai makan di Muar, pulang ke Tanjung Sedili bagi mendapatkan ubat.
Bagaimanapun, suspek berusia 37 tahun yang turut mengikut mereka pulang dipercayai bertindak di luar kawalan akibat masalah kesihatan mental.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi.
Menurut beliau, selepas mencampak mangsa ke dalam sungai, suspek bertindak mengamuk sambil memegang sebilah parang serta mengejar bapa mangsa.
“Bertindak atas maklumat, pasukan dari Balai Polis Kuala Sedili ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek. Pergelutan turut berlaku ketika penahanan hingga mengakibatkan seorang pegawai polis mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kematian kanak-kanak berkenaan di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi sebelum dipindahkan ke Jabatan Forensik Hospital Pasir Gudang bagi proses bedah siasat. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 kerana membunuh.
Sumber: Sinar Harian

18 hours ago
17






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















