syaz ft 2025 07 02T161533.214

Hidup bermadu bukan sesuatu yang mudah, terbaru seorang ejen pelaburan didakwa di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan menyebar, mengugut dan memiliki gambar lucah madunya.

Tertuduh, Herni Sofini Omar, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap madunya yang merupakan seorang guru itu sejurus tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 45 tahun yang juga madunya dengan menyebarkan gambar-gambar lucah mangsa melalui kiriman surat.

Artikel berkaitan: Dapat Hak Penjagaan Penuh 3 Orang Anak, Peguam Dedah Kisah Bekas Madu Miera Leyana

Artikel berkaitan: “Mungkin perempuan itu lebih layak”- Wanita Kongsi Pengalaman ‘Dihadiahkan’ Madu Tanpa Rela

Menurut laporan Kosmo!, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menyampaikan ugutan jenayah terhadap madunya itu melalui surat yang menyembunyikan identiti tertuduh.

Kesemua kesalahan itu dilakukannya kira-kira pukul 2 petang di sebuah rumah bernombor, Jalan Meranti 3, Taman Sayang Selasih dalam daerah Melaka Tengah pada 27 Mac 2025.

Dalam pertuduhan terakhir, wanita itu didakwa telah menyimpan gambar lucah madunya di dalam telefon bimbit yang mana kesalahan itu telah dilihat kira-kira pukul 3 pagi di pejabat pegawai penyiasat jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, pada 2 Jun 2025.

Peguam Baharudin Baharim yang mewakili tertuduh kemudian merayu agar jaminan RM4,000 diberikan bagi kesemua pertuduhan dengan alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap dan baru sahaja selesai menjalani pembedahan penyakit kanser selain telah ditinggalkan oleh suaminya kerana kes tersebut.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 6 Ogos untuk sebutan semula kes.

Sumber: Kosmo!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.