Kejadian lubang benam di Jalan Masjid India tahun lalu berpunca daripada paip pembetungan yang rosak dan terhakis, bukan kerana batu kapur rapuh seperti yang disangka sebelum ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata hasil siasatan pasukan petugas khas yang diketuai DBKL mendapati struktur paip berkenaan gagal berfungsi selepas mengalami hakisan kimia serta dipengaruhi ketidakstabilan tanah.
Artikel berkaitan: ‘Sinkhole’ Di Bangkok, Thailand Disyaki Berkait Dengan Terowong Yang Telah Siap Dibina 3 Bulan Lepas
Artikel berkaitan: Video Detik-detik Sebelum Kejadian ‘Sinkhole’ Di Singapura Tular Di Media Sosial
“Tapak kejadian berada di atas formasi Kenny Hills yang terdiri daripada batu sekis, manakala batu kapur hanya wujud pada kedalaman 60 hingga 70 meter. Jadi, insiden ini tidak boleh dikaitkan dengan batu kapur,” katanya.
Insiden pada 23 Ogos 2024 itu mengorbankan seorang pelancong dari India, G. Vijayalakshmi, 48 tahun, yang terjatuh ke dalam lubang sedalam kira-kira lapan meter ketika berjalan di kawasan tersebut.
Menurut Dr Zaliha, laporan penuh siasatan telah dibentangkan kepada Kabinet pada 20 Ogos lalu, dan laporan khas kepada umum akan dikeluarkan DBKL menjelang hujung tahun ini.
Beliau berkata, DBKL kini menjalankan kajian geoteknikal di kawasan Segitiga Emas bagi menilai kestabilan tanah menggunakan teknologi seperti GPR, LiDAR dan InSAR.
“Setakat ini, tiada kawasan dikenal pasti berisiko tinggi untuk berlaku kejadian sama,” jelasnya.
Kerajaan turut menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) yang lebih cekap bagi memastikan tindakan pantas sekiranya insiden seumpama itu berlaku lagi.
Sumber: New Straits Times